KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang berkonsepkan perniagaan ke perniagaan (B2B) pertama dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia.
Menurut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man, ekspo yang bakal berlangsung pada 8 Oktober hingga 10 Oktober depan merupakan platform terbaik bagi menarik pelaburan industri pelancongan di negeri itu.
“Antara objektif penganjuran MIT Pahang 2024 ini adalah menyediakan platform ‘business to business’ (B2B) kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia untuk berhubung dan memupuk kerjasama antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Pelancaran Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 yang bertemakan “Sustainable Tourism, The Way Forward” di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur.

Turut hadir, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim; dan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Azmi Abdullah.
Jelasnya, ekspo itu turut menjadikan Club Med Cherating sebagai salah satu tempat program bertujuan mempamerkan keindahan Pahang secara keseluruhan.
Dalam pada itu Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, ekspo pelancongan yang akan berlangsung di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre Kuantan itu juga dapat menjadikan Kuantan sebagai hab pertemuan perniagaan dari seluruh dunia.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Azmi Abdullah berkata ekspo itu juga dapat menjadi batu loncatan kepada Tourism Malaysia bagi mencapai sasaran 35.6 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM147.1 bilion pada 2026.
Untuk rekod, program berkenaan adalah platform terbaik buat para penggiat industri pelancongan dari dalam dan luar negara untuk bertukar pendapat dan membuka peluang perdagangan dalam industri Pelancongan.
Bukan itu sahaja, ianya juga menjanjikan peluang yang luas dalam aspek ekonomi, budaya dan dimensi pelancongan yang strategik secara global.
Program itu juga menjangkakan sambutan penyertaan yang memberangsangkan iaitu 100 Sponsored Premium Buyers, 900 Invited Global Buyers, Prominent Travel Associations and Organizations dan lebih 10,000 Pelawat Industri Pelancongan.
Antara objektif penganjuran MIT Pahang 2024 itu adalah menyediakan platform business to business (B2B) kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia untuk berhubung dan memupuk kerjasama antara satu sama lain.
Selain enawarkan seminar dan bengkel kepada pemain industri bagi mendapatkan pandangan dan pengetahuan.
MIT Pahang 2024, mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi mendapatkan sumber dan transaksi perniagaan di kalangan peserta pameran dan pembeli.
Ia turut menggalakkan kemampanan; menyokong amalan pelancongan yang bertanggungjawab yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan budaya dan kesejahteraan penduduk tempatan, memastikan daya maju jangka panjang pembangunan pelancongan di rantau ini.
Antara aktiviti yang dirancang sepanjang berlangsungnya MIT Pahang 2024 adalah pameran Pelancongan melibatkan penyertaan seluruh negeri di Malaysia, penyertaan dari negara rantau Asia Tenggara dan juga seluruh dunia.
Penganjuran seminar pelancongan bagi membincangan isu-isu pelancongan dari pakar industri pelancongan pelbagai negara.
Sesi ‘Business to Business’ (B2B) yang memudahkan rangkaian dan interaksi perniagaan di kalangan pembeli dan penjual industri pelancongan.
GALA Night Dinner di Club Med Cherating dan pertunjukan persembahan kebudayaan yang mempamerkan tarikan dan keunikan Negeri Pahang.
Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang diadakan buat julung kalinya ini merupakan satu langkah bagi memperkasakan industri pelancongan di Negeri Pahang agar terus kekal relevan dan berkembang maju sehingga ke peringkat global bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply