Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAMalaysia sertai Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2022

Malaysia sertai Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2022

KUALA LUMPUR, 25 September – Malaysia akan menyertai Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2022 (ITU PP22) yang berlangsung di Bucharest, Romania bermula esok hingga 14 Oktober ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan memaklumkan 181 negara menghadiri persidangan selama tiga minggu itu.

Beliau yang juga selaku Ketua Delegasi Malaysia di persidangan itu akan terlibat dalam beberapa mesyuarat dan sesi perbincangan dua hala bersama negara luar berhubung perkara berkaitan telekomunikasi, ekonomi digital, radio serta regulatori berkenaan peranan dan sumbangan Malaysia dalam sektor itu.
“Saya akan menyampaikan ucapan semasa Sesi Khas Menteri pada hari ini 25 September 2022 dan menyampaikan kenyataan polisi semasa Sesi Plenari pada 27 September 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ITU PP22 kali ini amat istimewa dan signifikan bagi Malaysia kerana akan bertanding untuk memenangi kerusi Ahli Majlis ITU di bawah Wilayah E (Asia dan Australasia) bagi penggal 2023-2026.

Selain akan menganjurkan Majlis Resepsi pada 29 September 2022, Annuar dan delegasi Malaysia akan menggunakan ruang yang ada sepanjang berada di sana termasuk bertemu dengan rakan sejawatan dan delegasi dari negara-negara ahli ITU bagi meraih sokongan dan undian agar Malaysia memenangi kerusi Ahli Majlis ITU.

Penglibatan Malaysia secara langsung dalam Persidangan ITU PP22 dan sebagai Ahli Majlis ITU akan memberi impak yang besar terhadap kepakaran tempatan yang dapat dimanfaatkan melalui program-program pembangunan telekomunikasi dan ICT oleh ITU.
Ia khusus kepada pemain industri dalam sektor telekomunikasi dan ICT tempatan di Malaysia yang akan menerima impak positif melalui polisi kerajaan yang tersusun, termasuklah peluang meneroka teknologi terkini, dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang unggul kepada Keluarga Malaysia.–THE MALAYA POST

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments