Friday, November 20, 2026
HomeBERITAKecederaan parah punca juruterbang helikopter hilang mati - Wee Ka Siong

Kecederaan parah punca juruterbang helikopter hilang mati – Wee Ka Siong

TAPAH, 12 September – Juruterbang helikopter yang dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, maut akibat kecederaan yang dialaminya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata petunjuk awal menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pada pukul 8:18 pagi.

“Ketika mangsa dijumpai masih lagi hidup namun dalam keadaan cedera parah dan tindakan yang diambil pasukan penyelamat adalah mengeluarkan mangsa dan dihantar ke hospital. Dalam perjalanan itu mangsa tidak sedarkan diri dan sampai di hospital mangsa meninggal dunia,” katanya menerusi hantaran video di Facebooknya tengah hari ini.

Tambahnya, pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan SAR kini sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca dan waktu kematian.

Beliau mewakili Kementerian Pengangkutan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa juruterbang berkenaan.

Wee Ka Siong turut memaklumkan telah menghubungi Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengenai perkara tersebut.

” Apabila mesej yang kita terima dari CAAM… memang 8:18 mangsa tersebut masih lagi hidup tetapi dalam keadaan kecederaan yang parah dan dalam proses menyelamatkan mangsa telah berlakunya perkara beliau tidak sedarkan diri.

“Kita rasa ini satu perkara yang amat malang sekali dan saya akan melakukan tindakan termasuk mengarahkan satu laporan lengkap setelah CAAM memuktamadkan semua kerja-kerja SAR (mencari dan menyelamat),” tambahnya.

Semalam, Wee Ka Siong berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments