KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad hari ini mencabar Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaan Rafizi kononnya Zainab Binti Mohd Salleh ialah isteri kedua beliau.
Tegas Datuk Dr Abd Latiff sebagai anggota kabinet beliau bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenarannya.
”Andaikata saudara Rafizi betul betul yakin bahawa Zainab Binti Mohd Salleh ialah isteri kedua saya, maka sila kemukakan bukti. Sebagai anggota kabinet, saya bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang saya katakan. Hentikanlah menabur fitnah,” katanya kepada The Malaya Post.
Katanya Rafizi perlu bersikap lebih jujur dalam berpolitik.
Ini kerana pembohongannya bukan sahaja menipu masyarakat tetapi juga menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah.
Tindakan itu katanya boleh menjejaskan keselamatan negara bila mana penjelasan yang perlu dibuat mendedahkan rahsia aset pertahanan negara kepada pengetahuan umum.
“Walaupun saya telah memberikan penjelasan, Rafizi masih berterusan dengan pembohongannya. Maka dengan ini, saya membuat penjelasan yang sebenar dan sejujurnya seperti berikut.
“Saya tidak mempunyai sebarang isteri atau bekas isteri yang bernama Zainab Binti Mohd Salleh. Apa jua perbuatan Zainab tidak mempunyai kaitan dengan saya. Saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dari 2009 sehingga 2013;
Tarikh kontrak LCS kepada BNS dibuat pada 17 Julai 2014. Saya tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS tersebut. Keluarga saya tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan,” katanya lagi.
Jelas Datuk Dr Latiff, modal fitnah Rafizi adalah kononnya terdapat satu laporan forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd (Alliance) kepada Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC).
“Rafizi mentohmah bahawa saya mempunyai seorang isteri kedua bernama Zainab Binti Mohd Salleh yang mendapat kontrak pertahanan puluhan juta ringgit dengan Kementerian Pertahanan bagi Littoral Combat Ship (LCS) semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan. Jadi apa jua perbuatan Zainab, dikaitkan sebagai perbuatan salahlaku saya.
“Menjelang PRU-15 yang dijangkakan tidak lama lagi, saya dijadikan bahan serangan saudara Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR. Permainan politik Rafizi amat mudah iaitu dia/PKR cuba menunjukkan pemimpin BERSATU juga korup dan tidak layak dipilih pada PRU-15,” katanya.
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply