Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAMPN cadang tubuh Majlis Pemulihan Negeri dipimpin MB atau KM

MPN cadang tubuh Majlis Pemulihan Negeri dipimpin MB atau KM

Pengerusinya Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar majlis seumpama MPN ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah.

Jelas beliau, langkah berkenaan untuk memudahkan usaha pemulihan yang dilaksanakan kerajaan dapat diterima di peringkat akar umbi dengan lebih berkesan dan cepat.

“Penubuhan majlis pemulihan negeri mungkin akan dipimpin Menteri Besar atau Ketua Menteri dan di peringkat bawah itu adalah Jawatankuasa Tindakan Daerah.

“Jawatankuasa Tindakan Daerah yang sedia ada boleh dibahagikan peranan lebih kepada aspek pemulihan, sekali gus dapat membantu lebih dekat dan terperinci apa yang sebenarnya keadaan dibawah,” katanya ketika sidang media selepas meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga-peniaga di Pasar Tani Pagoh Jaya hari ini.

Tambah beliau, antara langkah yang diambil di peringkat nasional itu membawa kesan sampai ke peringkat bawah dalam satu jangka masa yang tidak terlalu lama.

“Perkara berkenaan akan dibincangkan ke mesyuarat MPN pada Isnin hadapan dan saya harap ia mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri untuk dilaksanakan.

“Pihak MPN amat menyedari bahawa pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada ekonomi rakyat, justeru peranan pemimpin akar umbi amat penting untuk digerakkan dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat,” katanya.

Katanya, pemimpin di peringkat bawah juga dapat membantu memulihkan kehidupan rakyat kerana kesan daripada pandemik Covid-19 ini sampai ke akar umbi.

“Sebahagian rakyat kita sudah jatuh ke paras kemiskinan. Jika dahulu dalam kategori M40 boleh dikatakan sebahagian daripada mereka turun ke kategori B40,” katanya.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyantuni penduduk sekitar Pagoh Jaya bagi Program Ziarah Prihatin dan menghulurkan bantuan bakul makanan selain keperluan asas bagi penduduk yang menghadapi penyakit kronik.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments