Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pelantikannya sebagai Perdana Menteri sementara, sebagaimana diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, susulan peletakan jawatannya tengah hari tadi.
Berbeza dengan tanggungjawab sebelumnya, Tan Sri Muhyiddin akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri Sementara dengan keterbatasan kuasa dan tiada barisan kabinet.
“Saya telah mendapatkan pandangan Peguam Negara yang kemudiannya menyatakan bahawa saya boleh menjalankan fungsi eksekutif dan menasihati Yang di-Pertuan Agong sehingga perdana menteri yang baharu dilantik.
Mengenai tanggungjawab dan kuasa sebagai Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin berkata ada keterbatasan kuasa, tidak seperti sebelum ini (menjadi Perdana Menteri).
“Sebagai contoh, saya tidak boleh tanda tangan cek bernilai RM1 billion. Saya perlu rujuk dan ikut nasihat Peguam Negara,” katanya.
Kepada satu soalan sama ada barisan jemaah menteri akan dikekalkan sebagai Kabinet Sementara, Tan Sri Muhyiddin berkata, setahunya hanya beliau seorang yang akan menjalankan tugas.
“It is a one man show,” katanya secara berseloroh.
Tambah beliau, tanggungjawabnya sekarang adalah tugas terhormat dan akan dilakukan sebaik mungkin demi membantu negara.
“Ini adalah tugas yang terhormat. Saya akan terus jalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara ini, bagi membantu negara,” katanya dalam pertemuan dengan editor kanan media di pejabat Perdana Menteri, Putrajaya petang tadi.
Terdahulu, Muhyiddin yang menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri tengah hari tadi kepada Yang di-Pertuan Agong, berkata beliau akan memikul tanggungjawab itu dan berharap lantikan penggantinya dibuat secepat mungkin. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply