Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAAgong perkenan peletakan jawatan PM, Tan Sri Muhyiddin kini 'Caretaker' Perdana Menteri

Agong perkenan peletakan jawatan PM, Tan Sri Muhyiddin kini ‘Caretaker’ Perdana Menteri

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkuat kuasa serta merta.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin untuk menjadi ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

“Ini selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sesi menghadap oleh Presiden BERSATU itu berlangsung di Istana Negara itu selama 30 minit bermula jam 12.30 tengah hari.

Dalam perkembangan sama, Al-Sultan Abdullah berpandangan, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemasalahan dan keselamatan rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berkenan menerima sembah maklum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sehingga Ogos lalu, sejumlah 613 kawasan ADUN, 484 kawasan Parlimen adalah kawasan zon merah Covid-19.

“Pada masa sama, Seri Paduka turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara berada pada situasi yang membimbangkan.

“Justeru pada hemat Seri Paduka, pelaksanaan PRU-15 bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemasalahan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada jam 11 pagi. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments