Friday, November 20, 2026
HomeBERITAHIBURANAziz Satar dan Sudin pernah dihalau P.Ramlee dari set Pendekar Bujang Lapok

Aziz Satar dan Sudin pernah dihalau P.Ramlee dari set Pendekar Bujang Lapok

Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan Allahyarham S. Shamsudin pernah dihalau Seniman Agung dan Sutradara legenda Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh atau lebih dikenali sebagai P.Ramlee dari set pengambaran filem komedi berjudul Pendekar Bujang Lapok.

Demikian memetik perkongsian laman media sosial Facebook P.Ramlee.

Allahyarham Datuk Aziz Sattar menceritakan kisah tersebut ketika menjadi tetamu program Temujanji terbitan Astro AWANI sekitar tahun 2008 yang dihoskan oleh Dino Omar.

Menurut Pak Ajis, ketika itu mereka sedang melakonkan satu babak ketika S.Shamsudin menyalakan lilin untuk berjumpa dengan seniwati Allahyarhamah Roseyatimah.

“Saya tak tahu apa yang saya dan Sudin dah buat, tapi P.Ramlee tidak boleh menahan gelak sepanjang shooting sampai kami kena halau.

“Esok bila pengambaran disambung semula, selepas satu take, P. Ramlee gelak lagi sampai nak pecah lampu”, kongsinya.

Mengimbas kembali, Allahyarham Datuk Aziz Sattar memulakan kerjaya sebagai Pengalih Bahasa di Jalan Ampas.

Demi minat yang mendalam terhadap bidang seni, Allahyarham sanggup meninggalkan kerjaya sebelumnya walaupun terpaksa memperoleh gaji lebih kecil.

“Satu hari, mereka tak cukup watak extra. Saya cakap, buat apa susah-susah cari, di sinikan ada. Siapa? Tanya mereka. Aku la!” cerita Allahyarham yang kemudiannya diiringi gelak tawa penonton program Temujanji.

Dari situlah, bermulanya kerjaya Pak Ajis sebagai pelakon yang kemudiannya menjadi pelakon utama di dalam filem.

Sepanjang hayat, Pak Ajis sering mengagumi P. Ramlee. Menerusi temubual ini, Pak Ajis ada menceritakan beberapa babak yang disyorkan olehnya kepada P.Ramlee.

“P. Ramlee seorang yang menghormati orang dan senang menerima pendapat orang lain. Ada beberapa babak yang saya cadangkan diterima olehnya.

“Seperti babak Pendekar Bujang Lapok, babak saya dibaling batu. Itu idea saya. Ketika itu juga P. Ramlee tukar posisi kamera dan rakamkan babak tersebut” cerita Allahyarham lagi.

Untuk rekod, antara filem lakonan bersama mereka ialah Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok.

Pada akhir bicara, Pak Ajis yang sememangnya dikenali sebagai seorang yang suka buat orang ketawa, mengucapkan syukur kerana sehingga sekarang, filem-filem lakonan beliau dan rakan-rakan terus ditontoni dan disukai ramai.

Sesungguhnya filem arahan seniman P. Ramlee tidak pernah lapuk dek hujan dan lekang dek panas serta terus digemari penonton hari ini.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah ????❤

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments