Saturday, November 21, 2026
HomeBERITANasib pekerja seni semakin terdesak - Presiden PROFIMA

Nasib pekerja seni semakin terdesak – Presiden PROFIMA

 

Kehidupan pekerja seni makin terdesak berikutan larangan aktiviti penggambaran pada Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.

Menurut Presiden PROFIMA, Khir Mohd Noor, ada individu rumah dipalang gara-gara sewa tertunggak enam bulan dan tidak punya wang untuk pulang ke kampung menguruskan pengebumian bapa antara aduan dikemukakan ahli Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PFOFIMA) sejak sektor industri kreatif ‘lumpuh’ akibat penularan pandemik COVID-19.

“Mereka yang berkeluarga terpaksa mencari alternatif mendapatkan wang dengan menjadi penghantar makanan dan kerja lain yang bukan bidangnya.

“Apa yang membimbangkan jika keadaan ini berlarutan, kita akan mengalami kekurangan pakar atau profesional (dalam aspek produksi dan pembikinan filem) kerana mereka sudah beralih bidang.

“Kita risau timbul kekurangan tunggak utama seperti pengarah, pengarah seni, pengurus produksi, jurumekap dan sebagainya.

“Kru tidak menjadi masalah. Apa yang dibimbangkan, kekurangan kumpulan profesional,” katanya pada majlis penyerahan kira-kira 1,000 bakul makanan kepada lapan persatuan yang menyertai Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) di pejabat PROFIMA di ibu negara, Selasa lalu.

Tambahnya, antara kisah sedih yang dikongsi ahli adalah kekurangan wang bayar bil internet untuk anak yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan seorang pekerja belakang tabir meminta dipinjamkan RM50 untuk pulang ke kampung berikutan tiada ‘job’.

“Kita juga terima aduan ahli yang tidak mampu membayar kos kuarantin isterinya yang datang dari Singapura. Mereka tidak berjumpa sejak 10 bulan lalu.

“Persatuan tiada peruntukan untuk bantuan seumpama itu. Namun, atas dasar kemanusiaan, kami bantu dengan syarat dia bayar balik sebahagian daripada kos itu.

“Ada juga ahli yang datang kepada kami mahu meminjam wang kerana hendak pulang ke kampung menguruskan pengebumian bapa,” katanya.

Khir mengaku PROFIMA terkesan dengan situasi sekarang, apatah lagi kedudukan kewangan makin menepis.

“Bagaimana kita hendak membela kebajikan ahli dengan kedudukan kewangan persatuan yang semakin menipis. Kita perlukan kira-kira RM9,000 untuk membiaya kos premis, gaji pekerja dan bil utiliti setiap bulan,” katanya.

Khir berkata, kerajaan diharap dapat membantu penggiat seni melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan memberi bantuan wang tunai.

“Kami berharap bantuan diagih kepada warga industri kreatif seperti kru. Jangan fikirkan bakul makanan semata-mata, berilah sedikit wang tunai agar mereka boleh bernafas,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments