Kegagalan sistem kemudi dipercayai menjadi punca pelanggaran dua kapal di perairan Muar jam 12.03 tengah malam tadi.
Lapor Berita Harian, Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata kapal MV Galapagos yang berdaftar dari Malta dilaporkan mengalami kegagalan sistem kemudi.
Katanya, ia dikatakan bergerak ke kanan sehingga menghalang laluan kapal MV Zephyr Lumos yang sedang memintas MV Galapagos.

Katanya, MV Zephy Lumos yang berdaftar dari Great Britain, dipercayai gagal mengelak himpitan MV Galapagos lalu berlaku pelanggaran di sisi kanan kapal.
“MV Zephy Lumos membawa muatan kargo dalam pelayaran ke Terusan Suez dan dilaporkan terlanggar kapal MV Galapagos yang dalam pelayaran ke India di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya Kuala Sungai Muar.
“Kru kedua-dua kapal dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan berdasarkan maklumat, MV Galapagos mempunyai 23 kru.

Siasatan awal Bot Kilat Maritim Johor ke atas kerosakan badan MV Galapagos mendapati berlaku tompokan tumpahan minyak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua kapal ditahan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor bagi siasatan lanjut.
Terdahulu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat menerusi Maritime Rescue Coordinator Centre (MRCC) Putrajaya berhubung kejadian itu.
Maklumat diterima berkaitan isyarat kecemasan dari kapal kargo MV Zephyer Lumos manakala isyarat kecemasan kapal tangki MV Galapagos diterima menerusi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply