Di Hulu Terengganu, seorang pekerja warga Thailand maut diserang seekor gajah yang tiba-tiba ‘naik minyak’ di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Anucha Tangsakun, 38, parah di bahagian perut dan paha akibat terkena tusukan gading haiwan berumur 22 tahun yang dikenali sebagai Tenang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, Tangsakun difahamkan melakukan rutin hariannya untuk membersihkan dan memberi makan Tenang yang dirantai serta ditambat di tiang di kawasan santuari berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, Tenang bertindak menyerang penjaganya itu ketika mangsa mahu melepaskan ikatan sebelum membawanya ke sungai.
“Setiap pagi gajah-gajah dibawa ke sungai untuk mandi dan saksi memaklumkan, nampak mangsa pergi ke arah Tenang sebelum dikejutkan dengan suara jeritan Tangsakun.
“Saksi meluru ke arah rakannya dan mendapati Tangsakun sudah tidak bernyawa dengan kesan darah pada belalai Tenang sebelum meminta beberapa pekerja lain segera mengalihkan gajah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Adli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply