PETALING JAYA : Perhatian untuk semua. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 104 laporan berhubung penipuan pelaburan dikenali Brunei Investment Agency (BIA) di seluruh negara sejak Sabtu lalu membabitkan kerugian RM1.96 juta.
Daripada jumlah itu, laporan paling tinggi dicatatkan di Pulau Pinang apabila sebanyak 37 individu menjadi mangsa diikuti Johor (27 individu), Kuala Lumpur (12 individu), Selangor (sembilan individu).
Ia termasuk Perak (tujuh individu), Negeri Sembilan (enam individu) Melaka (tiga individu), Kedah (dua individu) dan Pahang (seorang).
Lapor Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, CP Dato’ Zainuddin Yaacob berkata, semua kertas siasatan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Siasatan polis, modus operandi sindiket ini adalah dengan berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial seperti Facebook dan Aplikasi WhatsApp untuk diperkenalkan mengenai pelaburan ini.
Ujar beliau, ada segelintir mangsa turut bersemuka dengan sindiket bagi meyakinkan mengenai pelaburan ini.
“Pelaburan ini menawarkan dua pakej iaitu pakej jangka pendek dengan bayaran RM120 bagi tempoh pulangan antara tujuh sehingga 40 hari.
“Manakala pakej jangka panjang dengan bayaran RM120 bagi tempoh pulangan dua sehingga empat bulan,” katanya.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan diminta tampil membuat laporan polis dan juga boleh menghubungi CCID Scam Response Center Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di talian 03-26101559 untuk sebarang pertanyaan berkaitan jenayah komersil.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply