Hospital swasta dijangka boleh mendapat bekalan vaksin COVID-19 bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan seawal Jun atau Julai depan.
Memetik laporan Berita Harian, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata rundingan dengan syarikat pengeluar dan farmaseutikal akan dibuat secepat mungkin.
Katanya, rundingan akan dimulakan selepas hospital swasta mendapat kebenaran untuk membeli dan mengendalikan perolehan daripada Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).
“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kelulusan untuk hospital swasta membuat pembelian vaksin.
“Bagaimanapun, kita minta supaya kerajaan bukan sekadar beri kelulusan pembelian vaksin, tetapi turut beri kebenaran mendapatkan bekalan pelalian selain daripada yang disenaraikan kerajaan.
“Ini antaranya meliputi vaksin Moderna dan Johnson & Johnson (J&J) supaya kita tidak berdepan risiko mengambil kuota diperuntukkan kepada kerajaan serta mengundang masalah rantaian bekalan.
“Sekiranya ia dipersetujui, kita boleh mulakan rundingan dengan syarikat farmaseutikal berkaitan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan akan memberi kebenaran kepada hospital swasta untuk mengadakan rundingan perolehan vaksin dengan syarikat pengeluar.
Perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

Leave a Reply