Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAThailand nafi dakwaan WHO mengatakan COVID-19 berpunca dari sana

Thailand nafi dakwaan WHO mengatakan COVID-19 berpunca dari sana

Thailand menafikan teori Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendakwa virus COVID-19 mungkin berasal dari Pasar Chatuchak.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada laporan WHO, yang dikatakan sedang memantau Pasar Chatuchak kerana kemungkinan menjadi punca penyebaran coronavirus itu.

Ia berikutan laporan media Denmark mengatakan pasukan penyiasat WHO yang mengunjungi bandar Wuhan, China Januari lalu sangsi dengan teori bahawa virus itu berasal dari sana dan sedang mencari sumber jangkitan lain.

Antaranya, mereka mengesyaki virus COVID-19 mungkin berasal dari Asia Tenggara dan secara khusus merujuk kepada penjual haiwan liar di Pasar Chatuchak.

Bagaimanapun, Bahagian Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), yang mengawasi pasar di ibu negara itu, semalam memaklumkan pembeli tidak dibenarkan membawa haiwan peliharaan mereka masuk ke Pasar Chatuchak.

Pengarah bahagian pemasaran, BMA, Phinit Arayasilpathorn, berkata kebanyakan penjual di pasar itu menjual pakaian, tumbuh-tumbuhan serta pelbagai barangan lain dan premis itu kerap disanitasi sejak bermulanya pandemik COVID-19.

Isnin lalu, akhbar Denmark, Politiken, menerbitkan rencana mempersoalkan sama ada Pasar Chatuchak adalah lokasi sebenar asal-usul coronavirus yang kemudian merebak ke Wuhan.

Rencana itu memetik kenyataan Pakar Epidemiologi Denmark, Thea Kolsen Fisher, yang turut terbabit dalam misi penyiasatan di China baru-baru ini, mengatakan Asia Tenggara mungkin menjadi sumber penyebaran virus itu.

Selasa lalu, Fischer, yang dipetik akhbar sama, bercakap mengenai penemuan baharu mengenai kewujudan kelawar ladam kuda di Thailand, mirip kepada spesis kelawar pembawa coronavirus menyebabkan COVID-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jabatan Kawalan Penyakit dan Bahagian Risiko Kesihatan Kecemasan, Dr Chawetsan Namwat, berkata Thailand sudah meneliti laporan akhbar Denmark itu.

“Pihak kami menolak kemungkinan Asia Tenggara sebagai lokasi asal-usul COVID-19, kami sudah meneliti isu ini dan ia jelas tidak benar.

“Tidak ada bukti akademik yang menunjukkan penyebaran COVID-19 daripada mana-mana haiwan di Pasar Chatuchak,” katanya.

Sementara itu, Arit Srithong, yang mengawasi Pasar Chatuchak, berkata pasukan WHO itu mungkin mengaitkan asal usul COVID-19 dengan lokasi penjualan binatang peliharaan dan hidupan liar berdekatan Chatuchak, iaitu Pasar Sri Somrat.

Bagaimanapun, katanya, pasar itu juga sentiasa dikawal selia dengan baik termasuk kerap menjalani proses sanitasi dan kebanyakan penjual mengikuti pelbagai langkah keselamatan bagi membendung penularan COVID-19.

Untuk rekod, Pasar Chatuchak terkenal kerana menjual pelbagai haiwan hidup termasuk hidupan liar terlarang yang dijual secara haram.

Ia turut menjadi lokasi wajib dikunjungi pelancong antarabangsa, sekali gus mengundang teori kenapa virus itu dapat merebak ke serata dunia dengan begitu mudah. – AGENSI

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments