Hampir setahun negara dilanda virus COVID-19 dan hari ini akhirnya vaksin bagi membendung penularan wabak maut ini daripada terus merebak telah tiba di ibu negara.
Sudah tentu ketibaan vaksin fasa pertama berjumlah 312,390 dos ditunggu oleh semua warga Malaysia.
Melalui perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pegawai-pegawai tertinggi dari KKM, MOSTI dan MOT turut hadir menyambut ketibaan pertama vaksin Pfizer-BioNTech ini.

Laman rasmi Facebook KKM juga menyatakan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 pada jam 10.00 pagi hari ini yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).

“Perjalanan vaksin ini dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global. Vaksin ini berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.
“Vaksin ini (312,390 dos) diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.
“Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express, yang juga merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer-BioNTech di peringkat global,” kongsi kementerian terbabit.
Untuk rekod, vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang telah memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari 2021 lalu.
Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada 5 pengeluar vaksin COVID-19.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Januari yang lalu untuk pembelian vaksin ini, setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020.
Malaysia akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaanpada 24 Februari 2021 (Rabu ini). Program ini akan bermula dengan suntikan sulung yang akan diterima oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bersama petugas barisan hadapan.
Program Imunisasi ini terbahagi kepada tiga fasa antaranya ;
Fasa 1 (Februari – April 2021): petugas barisan hadapan;
Fasa 2 (April – Ogos 2021):warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi; dan
Fasa 3 (Mei 2021 – Februari 2022): penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Semoga segala perancangan berjalan lancar dan ketibaan vaksin ini mampu memberi sinar baharu kepada negara dalam menghadapi wabak berjangkit ini.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply