Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi antara individu pertama dengan sukarela menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi tujuan meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperolehi adalah selamat dan berkesan.
Ini diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum vaksin diberikan kepada kumpulan sasaran yang terdiri daripada golongan berisiko tinggi seperti warga emas, penghidap penyakit tidak berjangkit dan pesakit saluran pernafasan kronik.
Menurut beliau, sebuah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang bertujuan memastikan bekalan vaksin akan dapat diperoleh pada kadar segera.
“Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin daripada Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasaran bermula seawal Februari 2021,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian dalam video perkembangan terkini berhubung pemberian vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin itu di kalangan penerima,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan serta mengamalkan kebiasaan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan juga menjaga penjarakan fizikal.
“Sekali lagi saya ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menghayati dan membudayakan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian walaupun setelah kita menerima bekalan dan suntikan vaksin.
“Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telahpun berada dalam komuniti,” tambahnya.

Leave a Reply