Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melihat Penarafan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia bagi sesi 2018/2019 konsisten dalam melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, beliau berkata perkembangan ini jelas memperlihatkan sektor pendidikan tinggi negara berada pada landasan yang betul dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan memberi penekanan terhadap kualiti akademik, kebertanggungjawaban dan prestasi setiap IPT di Malaysia.
Dalam satu kenyataan akhbar, beliau memberitahu dua instrumen yang digunakan KPT dalam melaksanakan Penarafan IPT Malaysia tahun 2018/2019 iaitu Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) dan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST).
“Penarafan SETARA dinilai melalui 38 indikator yang merangkumi empat fungsi teras utama iaitu umum, pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan perkhidmatan.
“Manakala penarafan MyQUEST dinilai melalui 35 indikator yang merangkumi dimensi input, proses dan output yang memberi penekanan kepada lima teras utama iaitu kualiti dan kepelbagaian pelajar, kelestarian sumber dan kewangan, sistem pengurusan kualiti, pengiktirafan program serta pengiktirafan graduan dan reputasi institusi.
“SETARA dan MyQUEST menggunakan sistem penarafan bintang daripada skala satu bintang ke enam bintang,” ujar beliau.
Katanya, enam bintang menunjukkan sesebuah IPT itu berada pada tahap cemerlang dan mempunyai daya saing diperingkat antarabangsa, manakala satu
bintang pula menunjukkan IPT tersebut kurang berdaya saing dan tidak memenuhi kriteria minimum.
”Menurut rekod, jumlah keseluruhan IPT yang menyertai penarafan SETARA bagi sesi 2018/2019 adalah sebanyak 86 buah.
“Manakala 207 buah Kolej swasta pula menyertai penarafan MyQUEST bagi tahun yang sama.
“Bagi penarafan SETARA untuk tahun 2018/2019, lapan buah IPT telah berjaya mencapai enam bintang iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Monash University Malaysia diikuti oleh 30 IPT yang mendapat penarafan lima bintang, 30 IPT mencapai empat bintang, 15 buah IPT mencapai tiga bintang, dua IPT dengan penarafan dua bintang serta hanya sebuah IPT sahaja yang mendapat penarafan satu bintang,” jelas beliau.
Tambah beliau, penarafan MyQUEST untuk tahun 2018/2019, sebanyak 14 buah kolej swasta telah berjaya mencapai penarafan enam bintang yang terdiri daripada Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Sunway (Kuala Lumpur), Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT), Kolej SEGi Kota Damansara, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, Kolej Segi Pulau Pinang, Kolej Antarabangsa Putra, Kolej Equator, Kolej Despark, Kolej Segi Sarawak, Kolej IBS, Kolej Integrasi Perkembangan Kemahiran (IPK), Kolej Hafiz dan Institute Antarabangsa Sains Mantin.
“Ini diikuti oleh 54 buah kolej yang mendapat penarafan lima bintang, 88 buah mencapai empat bintang, 40 buah Kolej dengan tiga bintang dan 11 buah kolej telah diberi penarafan dua bintang.
”Pihak KPT akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan ke atas SETARA dan MyQUEST selaras dengan perubahan persekitaran dan ekosistem pendidikan tinggi negara,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penyesuaian berkenaan akan mengambil kira pembudayaan norma baharu dalam sistem penyampaian pendidikan, penekanan kepada agenda pendigitalan, Teknologi Pendidikan berasaskan Revolusi Industri 4.0 dan kriteria lain yang relevan.
Beliau menambah, penarafan seterusnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2022.
Keputusan penuh bagi Penarafan IPT Malaysia tahun 2018/2019 boleh dilayari melalui portal, http://jpt.mohe.gov.my/portal/.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply