Dato’ Seri Ahmad Faizal menyatakan, beliau akan menjadi ‘caretaker government’ sementara Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membuat pertemuan bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.
“Saya telah pun berkesempatan berjumpa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Sultan Perak dan dalam waktu saya menghadap tadi, saya telah pun menyembah maklum apa yang berlaku di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pagi tadi.
“Saya telah menyembah maklum saya telah kehilangan majoriti dan tentunya Tuanku Sultan perlu membuat beberapa pertemuan dan sehingga tuanku membuat satu keputusan untuk memilih seorang dari kalangan ahli dewan yang mempunyai majoriti yang secukupnya untuk membentuk kerajaan.
“Sementara itu saya menjadi ‘caretaker government’, saya harap masalah ini akan diselesaikan dengan segera, saya harap senua rakyat bersabar dan nantikan titah baginda Sultan Perak Darul Ridzuan,” ujar beliau ketika ditemui media selepas keluar dari Istana Kinta sebentar tadi.
Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad Faizal memberitahu beliau akan menjalani tugasan seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan sebelum ini.
“Jika mengikut jadual, esok saya mempunyai program menyampaikan geran tanah.
“Saya akan teruskan aktiviti seperti yang dijadualkan dalam usaha memberi khidmat kepada rakyat.
“Namun bagi saya sebagai ‘caretaker government’ tidak berhasrat untuk membuat keputusan yang besar,” ujar beliau
Terdahulu, ketika sidang DUN pagi tadi, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli dewan dalam undi usul percaya terhadap beliau.
Dalam undian daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Abd. Manaf Hashim.
Pada awalnya, usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak dalam persidangan DUN yang bermula hari ini.
Bagaimanapun dua usul tergempar yang dibawa Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) kepada DUN diterima Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply