Bagi menangani kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan, kerajaan bakal memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja yang dianggarkan melibatkan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta.
Menerusi program ini, Perdana Menteri Malaysia memaklumkan ia dijangka akan memberi manfaat kepada 300 ribu golongan penganggur dan belia.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setiap syarikat akan diberikan insentif kewangan selama enam bulan untuk memberi pekerjaan kepada mereka yang memerlukan pekerjaan.
“Insentif bagi menggaji penganggur berumur di bawah 40 tahun sebanyak RM800 sebulan bagi setiap pekerja.
“Insentif bagi menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan OKU sebanyak RM1,000 sebulan,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi membantu dan menggalakkan penganggur meningkatkan kemahiran, elaun latihan sehingga RM4,000 akan diberikan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan ia boleh dituntut daripada PERKESO walaupun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.
Berbicara lanjut, bagi meningkatkan kadar pengangguran serta kebolehpasaran graduan, kerajaan akan menyediakan insentif kepada majikan yang memberikan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan.
“Inisiatif seterusnya kerajaan akan memperuntukkan RM2 juta bagi program peningkatan kemahiran untuk golongan menganggur dan belia yang akan memberi manfaat kepada lebih daripada 200,000 orang.
“Bagi golongan belia, ini termasuklah program latihan dan penempatan, pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi-institusi terpilih dan subsidi latihan.
“Manakala golongan penganggur, kerajaan akan melaksanakan program peningkatan kemahiran di dalam industri elektrik dan elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi,” jelas beliau dalam perutusan khas PENJANA hari ini.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

Leave a Reply