Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah menzahirkan kekesalan di atas kematian seorang anggota polis yang maut akibat dirempuh oleh lelaki memandu dalam keadaan mabuk awal pagi tadi.
Dalam satu kenyataan media, beliau berkata peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku ketika negara sedang dalam tempoh Kawalan Pergerakan.
“Tidak masuk dek akal, dalam waktu PKP ini masih ada kes memandu sambil mabuk hingga menyebabkan kehilangan nyawa kepada anggota frontliner yang sedang menjalankan tugas mereka.
“Di dalam keadaan negara sedang memerangi Covid 19 ini seharusnya perkara ini tidak boleh berlaku.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya kejadian ini dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan yang keras kepada sipelaku yang menyebabkan terkorbannya anggota polis kita yang membantu kita memerangi peperangan wabak Covid 19 ini,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 tahun.
“Kita telah kehilangan seorang anggota yang berharga kepada negara kita,” katanya.
Beliau berharap agar pihak yang bersalah akan dijatuhi hukuman setimpal.
Dalam pada itu beliau berpendapat kerajaan harus menggubal undang-undang bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk antaranya menggantung lesen memandunya selama 10 tahun.
“Ia bertujuan untuk mengelakkan kejadian seperti ini dari berulang dan orang yang tidak bersalah menjadi korban.
“Saya menyeru rakyat Malaysia supaya memahami keadaan negara dan dunia yang sedang kita hadapi dan sama-sama membantu anggota keselamatan memerangi wabak ini dan memastikan kita menang dalam peperangan ini,” tambahnya.
Beliau menasihatkan orang awam agar tidak menambah beban kepada anggota keselamatan dan patuh pada arahan PKP serta jaga keselamatan diri juga keluarga tersayang.
#StayAtHome
#staySafe
#stayHealthy
#StrongerTogether
#kitaJagaKita
– THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

Leave a Reply