- Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak ini meskipun usaha memerangi COVID-19 belum berjaya sepenuhnya tetapi mereka telah dapat melandaikan keluk (curve) pada tahap yang terkawal.
“Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi termasuk melindungi mata pencarian rakyat.
“Usaha ini adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan,” ujar beliau.
Menurutnya, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kes-kes COVID-19 telah menurun dengan ketara susulan dari usaha berterusan pihak kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 namun bagi memastikan pencapaian yang positif ini berterusan, pihak kerajaan telah melanjutkan tempoh PKP sehingga 12 Mei depan.
Pihak kerajaan juga sedang mengkaji kaedah memulihkan ekonomi secara berperingkat dan ini merangkumi pembukaan beberapa sektor dan sub-sektor ekonomi tambahan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ketat bagi memastikan syarikat terus beroperasi dan pekerja berada dalam persekitaran yang selamat.
“Sehubungan ini, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang kelmarin dan telah membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat.
Mesyuarat telah meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan turut membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.
“Perbincangan tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan.
“Keputusan mesyuarat EAC telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang bersidang pada pagi ini (28 April 2020) dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta turut dihadiri oleh semua Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,” katanya.
Menyedari keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa, Dato’ Seri Mohamed Azmin berkata pihak kerajaan bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi pada PKP tahap pertama, kedua dan ketiga meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.
Tambah beliau lagi, pihak syarikat di dalam sektor yang dibenarkan ini wajib mematuhi syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing.
Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang.
“Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok (29 April 2020). Pihak syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran.
“Inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.
“Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana,” tambahnya.
Beliau berkata, pihak kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan ‘kebiasaan baharu’ dengan mematuhi penjarakkan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan.
https://www.facebook.com/668026816595001/posts/3048185558579103/
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply