Sehubungan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan bermula 15 April sehingga 28 April depan, Perdana Menteri turut menyatakan kerajaan telah membuat keputusan memberi kebenaran kepada beberapa sektor tambahan untuk beroperasi sepanjang PKP ini.
Memetik kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, keputusan kerajaan ini adalah hasil kaji selidik yang mendapati bahawa penularan COVID-19 bukan sahaja memberi kesan yang besar ke atas kesihatan, tetapi juga akan membawa mudarat kepada prestasi kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya industri PKS sebagai penyumbang tenaga kerja terbesar di Malaysia.
“Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat,” katanya.
Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata kebenaran diberikan kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dalam rantaian bekalan global dan eksport, gandaan nilai tambah yang tinggi, impak ke atas kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain jumlah tenaga kerja yang terbabit.
Sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi semasa lanjutan PKP adalah industri automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya atau CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan seperti penyelenggaraan).
Selain itu, industri mesin dan peralatan; aeroangkasa; projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan; perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Turut diberikan kebenaran adalah perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar; perkhidmatan kedai perkakas atau ‘hardware’, kedai barangan elektrik dan elektronik; kedai cermin mata; perkhidmatan gunting rambut asas dan perkhidmatan dobi (bukan layan diri).
Menurutnya, MITI telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan industri, PKS, serta Kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengenalpasti dan memperhalusi sektor ekonomi tambahan yang boleh dibenarkan beroperasi.
Langkah ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak COVID-19 Ke Atas Ekonomi dan Pasaran Buruh.
Berikutan keputusan itu, syarikat di dalam sektor tambahan yang disenaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula Isnin depan dan hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan di proses.
Semua permohonan hendaklah dibuat secara atas talian di laman sesawang MITI, www.miti.gov.my
Siaran media tentang sektor tambahan yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan…
Dikirim oleh Ministry of International Trade and Industry, Malaysia pada Jumat, 10 April 2020
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

Leave a Reply