Saturday, November 21, 2026
HomePOLITIKIsu UEC : DAP wajib faham prinsip tanggungjawab bersama dan bukan amalkan...

Isu UEC : DAP wajib faham prinsip tanggungjawab bersama dan bukan amalkan politik ugutan serta intimidasi dalam tadbir urus negara

Oleh : Haniff Khatri Abdulla

UEC iaitu United Examination Certificate ataupun Sijil Peperiksaan Bersama adalah berkaitan dengan sekolah menengah Cina yang bebas atau persendirian, dan seringkali menjadi satu isu sensitif berhubung dasar pendidikan negara.

Disebabkan kekerapan isu ini dibangkitkan dari masa ke semasa, kerajaan di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia yang diterajui pada ketika itu oleh Dr Maszlee Malek telah pada bulan Oktober 2019, menubuhkan Pasukan Tugasan Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate Task Force ) ataupun PPDUEC untuk mengkaji, menyelidik dan memajukan rekomendasi yang perlu berkaitan UEC kepada Kerajaan untuk hala tuju sistem pendidikan negara seterusnya.

Dalam Laporan NST bertarikh 07.11.2019 bertajuk “Education Ministry still waiting for UEC report”, telah dilaporkan :

“The Education Ministry is still waiting for the final report on the recognition of the Unified Examination Certificate (UEC).

Its minister Dr Maszlee Malik said the Unified Examination Certificate Task Force (PPDUEC) is in the midst of finalising the report.

“They are engaging with many stakeholders, and also working with very limited man power, but they are doing their best. (And) the ministry is in touch with them,” he said at Parliament lobby today.”

Sememangnya dalam konsep tadbir urus negara menurut prinsip kedaulatan undang-undang, setiap isu yang menyentuh dasar dan polisi kerajaan, akan dikaji dan kemudiannya dibentangkan untuk perbincangan di kalangan jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet, sebelum langkah seterusnya diambil dalam membawa kepada keputusan dasar  yang menyeluruh dan saksama, di mana kesemua pihak yang terbabit yang mewakili parti-parti individu masing-masing dalam gabungan Pakatan Harapan, akan berhak untuk memberi pendapat ke arah keputusan dasar itu kelak.

Namun, belum pun pihak PPDUEC memajukan laporan dan rekomendasi mereka kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang kini diterajui oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pendidikan (Sementara), dan sebelum pun ianya dibawa untuk perbincangan jemaah menteri kelak, malangnya secara berlawanan dengan sistem kedaulatan undang-undang, seorang pemimpin kanan parti politik DAP, salah satu parti gabungan dalam Pakatan Harapan, iaitu Saudara Nga Kor Ming, telah keluarkan satu kenyataan yang berbaur ugutan dan intimidasi kepada Kerajaan kini seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini 29.01.2020 bertajuk “Nga: DAP will quit Harapan gov’t if UEC not recognised” di mana dilaporkan :

“DAP will quit the Pakatan Harapan government if the latter refuses to recognise the Unified Examination Certificate (UEC), said DAP deputy secretary-general Nga Kor Ming.

“We reached a consensus that DAP will withdraw from the government if UEC is not recognised.

“It doesn’t matter if we are no longer part of the ruling government. This is the principle we will uphold,” Nga (above) told Oriental Daily, with part of the interview footage uploaded online, … ”

Ia adalah satu amalan yang tidak sihat untuk mana-mana pemimpin, apatah lagi seorang pemimpin kanan parti dalam gabungan Pakatan Harapan yang kini menerajui Kerajaan Malaysia, untuk keluarkan kenyataan bercorak ugutan dan intimidasi bahawa “jika permintaan untuk pengiktirafan UEC itu ditolak oleh kerajaan maka DAP telah berkata sepakat untuk keluar dari Pakatan Harapan !”

Tindakan ini bukan sahaja tidak sihat dan tidak matang, malah ia mencerminkan seolah-olah pihak berkenaan ingin melanggari konsep kedaulatan undang-undang yang antara lain memerlukan jemaah menteri diberi kebebasan untuk berbincang dengan tenang, matang dan terbuka dalam mesyuarat kabinet, sebelum keputusan dibuat oleh kerajaan.

Konsep tadbir urus negara ini lebih dikenali sebagai “tanggungjawab bersama” ataupun “collective responsibility”, yang juga mewajibkan setiap pihak dalam Kerajaan itu tidak boleh menyanggah secara terbuka mana-mana keputusan kerajaan yang diambil dalam Mesyuarat Kabinet oleh jemaah menteri kelak.

Apa yang lebih buruk di sini adalah Saudara Nga Kor Ming dari awal lagi sudah bercanggahan dengan konsep kedaulatan undang-undang, dengan membuat ugutan dan intimidasi kepada kerajaan untuk mengiktiraf UEC, tanpa peluang kajian diselesaikan mahupun perbincangan dilakukan dalam nesyuarat kabinet oleh jemaah menteri !! Ini dengan penuh sopan saya katakan adalah salah sesalahnya !!

Rakyat Malaysia, samada yang telah mengundi Pakatan Harapan, ataupun sebaliknya , semestinya tidak ingin melihat politik ugutan dan intimidasi diamalkan sebegini cara oleh pemimpin parti-parti dalam kerajaan itu sendiri.

Saya amat berharap agar Saudara Nga Kor Ming sendiri menarik balik ugutan dan intimidasi itu pada kadar serta merta dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin politik dengan lebih rasional, matang dan tenang dengan mematuhi prinsip tanggungjawab bersama di bawah konsep kedaulatan undang-undang.

Haniff Khatri Abdullah, Peguam Kanan 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments