KUALA LUMPUR 25 Jan : Bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berpendirian bahawa terdapat keperluan untuk Kerajaan Malaysia menggantung sementara pengecualian visa percuma khusus pelancong negara China bagi tempoh munasabah.
Menurut Dato’ Seri Mohd Najib penggantungan ini penting bagi memudahkan pihak bertanggungjawab mengawal kemasukan mereka dan pemeriksaan dilakukan dengan lebih teliti.

“Pada masa ini, saya berpendirian terdapat keperluan untuk kita gantungkan sementara pengecualian visa percuma untuk pelancong negara China bagi satu tempoh yang munasabah bagi mengurangkan pelancong dari China.
“Ini bagi mengawal kemasukan mereka dikawal dan diperiksa dengan lebih teliti”, tulis beliau di facebook.
Tambahnya, sambil kita ambil kira terhadap sektor pelancongan yang bakal terjejas jika kesemua pelancong disekat terus, kerajaan juga perlu ambil kira keselamatan rakyat negara ini.
“Jutaan rakyat Malaysia bergantung terhadap sektor pelancongan.
“Melalui penggantungan visa percuma ini, kita akan dapat pengawalan lebih baik terhadap pelancong yang akan masuk.
“Tempoh memohon visa ini juga akan menyekat mereka yang baru dijangkiti virus tetapi masih tidak ada tanda-tanda sakit”, katanya.
Pihak berkuasa berkenaan juga perlu meningkatkan kawalan dan pemeriksaan suhu badan pelancongan yang masuk ke negara ini supaya mereka yang sedang sakit atau selsema ditahan untuk diperiksa.

“Kerajaan perlu lebih serius terutama meningkatkan jumlah mesin pengimbas suhu di pintu masuk negara ini sama ada udara mahupun darat. Ini satu perkara yang serius.
” Pada masa yang sama, pihak berkuasa mesti telus dan cepat untuk memberi perkembangan terbaru tentang wabak ini kerana ramai rakyat bimbang kerana virus ini adalah serius dan boleh meragut nyawa.
“Kebimbangan dan kesihatan Rakyat perlu diutamakan. Ini bukan kali pertama Malaysia menghadapi ancaman seperti ini”, katanya.
Tambah Ahli Parlimen Pekan, pada tahun 1998, Malaysia juga menghadapi wabak virus Nipah yang berasal dari negara ini.
Pada tahun 2003, Malaysia juga berjaya mengatasi virus SARS yang juga berasal dari negara China.
Jelasnya, rakyat Malaysia perlu bertenang dan juga dinasihatkan untuk tidak berkunjung ke tempat-tempat awam yang ada ramai pelancong buat sementara waktu jika tidak ada keperluan mendesak.
“Kita juga perlu mengikut nasihat pihak kesihatan dalam memastikan kita tidak dijangkiti termasuk mengutamakan kebersihan diri.
“Saya juga berterima kasih kepada anggota jabatan kesihatan yang bertungkus lumus bertugas di pintu masuk negara ini”, katanya.
Kementerian Kesihatan pada hari ini telah mengesahkan 3 pelancong warga China di sahkan positif Coronavirus (2019-nCoV). Mereka kini sedang di rawat di Hospital Sg Buloh.

Leave a Reply