Kaki berbau?
Pasti kita akan berasa kurang selesa dan malu terutamanya bila berdekatan dengan orang sekeliling.
Antara faktor penyumbang terhadap masalah kaki busuk ialah tidak membersihkan kaki dengan teliti, memakai kasut yang terlalu ketat, pemakaian stokin atau kasut berulang kali, kekurangan khasiat zink serta perubahan hormon badan terutamanya ketika meningkat remaja dan semasa hamil.
Jom kami kongsi tip mencegah kaki berbau yang boleh dilakukan di rumah.
RENDAMAN KAKI
1. Garam Epsom
Garam Epsom ini bagus dalam merawat kaki berbau. Ia bertindak mengeluarkan kelembapan daripada kulit dan akan menyukarkan bakteria untuk ‘berhimpun’.
Caranya dengan larutkan separuh cawan garam Epsom ke dalam bath tub ataupun di dalam bekas yang besar. Rendam kaki anda selama 10 hingga 15 minit.
2. Cuka
Campurkan sebahagian cuka ke dalam air di dalam bekas yang besar. Kemudian rendam kaki antara 10 hingga 20 minit. Lakukannya sekali seminggu. Pastikan kaki anda bebas daripada sebarang luka terlebih dahulu sebelum mencuba kaedah ini ya!
3. Serbuk penaik (baking soda)
Serbuk penaik diketahui sangat berkesan bagi menghilangkan bau kaki. Ia meneutralkan tahap pH kaki dan mengurangkan bakteria.
Campurkan satu sudu serbuk penaik untuk setiap kuart (1/4) air suam. Rendam kaki kira-kira 15 hingga 20 minit setiap hari. Ulangi secara konsisten selama seminggu dan anda akan merasai perbezaannya.
4. Teh hitam
Rebus dua beg teh hitam dengan kira-kira tiga cawan air panas. Kemudian masukkan sebotol air untuk menyejukkannya. Rendam kaki anda selama 15 hingga 20 minit. Ulang setiap hari.
5. Minyak lavender
Lavender bukan sahaja menghasilkan bau yang menenangkan, tetapi ia juga boleh membunuh bakteria selain mengandungi bahan antikulat yang dapat menghilangkan bau kaki.
Letakkan beberapa titis pati lavender dalam air suam. Rendam kaki anda selama 15 hingga 20 minit. Ulangi dua kali sehari, dan beberapa hari kemudian bau kaki anda mula berkurang.

SENTAL / CUCI KAKI
6. Lemon
Selain merendam kaki dengan perahan lemon, menyental kaki dengan belahan buah ini mampu menghilangkan bau disamping menyegarkan dek kerana baunya.
7. Serbuk kopi.
Diketahui serbuk kopi digunakan sejak dahulu lagi bagi tujuan membersihkan kulit dan menghapus daki. Gosok hampas kopi pada kaki bagi membuang sel kulit mati yang menjadi punca kepada masalah bau kaki.
8. Alum
Alum (tawas) adalah aluminium atau sulfat logam trivalen. Aluminium kalium sulfat digunakan sebagai astringen. Serbuk alum sangat kaya dengan bahan astringen dan antiseptik.
Letakkan satu sudu tepung alum dalam satu cawan air suam. Basuh kaki anda dengan sempurna dengan sebatian ini dan diamkan selama 15 hingga 20 minit, kemudian keringkannya.
Anda juga boleh taburkan serbuk alum pada kaki anda jika anda mahu kesannya lebih awal. Ulang setiap hari.
9. Gula
Gula boleh digunakan untuk menghilangkan sel-sel mati di kaki dan juga menghilangkan bau.
Campurkan gula, air dan alkohol isopropil di atas 91 peratus. Gosokkan campuran pada kaki selama 5 hingga 10 minit untuk pengelupasan kulit mati. Ulangi tiga kali seminggu.
10. Halia
Ekstrak halia sangat baik untuk membuang angin dan mengeluarkan bau yang menyegarkan.
Campur ekstrak dengan secawan air suam dan urut kaki anda selama 10 hingga 15 minit. Ulang setiap hari.
SEMBURAN / LETAK PADA KAKI & KASUT
11. Boraks (borax)
Campurkan satu cawan boraks dan jumlah cuka yang sama dengan dua cawan air. Semburkannya ke bahagian dalam kasut. Anda juga boleh taburkan serbuk boraks dalam kasut anda sebelum memakainya.
12. Sage
Sage boleh dimasukkan ke dalam kasut dan stokin untuk mengurangkan bau. Selain itu, merendam kaki anda dengan teh sage juga boleh menghilangkan bau.
13. Antiperspirant ketiak / diadoran
Cuba letakkan deodoran bersifat antiperspirant (antipeluh) pada kaki sebelum memakai kasut. Elemen antipeluh akan membantu kaki kekal kering dengan mengawal kelembapan yang dihasilkan.
14. Tepung jagung
Bagi memastikan kaki kekal kering, cuba lumurkan tepung jagung pada kaki sebelum anda memakai kasut.
Tepung jagung tersebut akan mengelakkan kaki anda dari kelembapan yang boleh menjadi punca kaki berbau.
15. Disinfeksi kasut
Sekiranya bau kaki melekat pada kasut, anda perlu disinfeksi atau menyah kuman kasut anda daripada bau busuk itu.
Gunakan penyembur pembasmi kuman yang mengandungi ethanol atau bahan-bahan yang boleh membunuh bakteria.
Caranya adalah dengan mengeluarkan pelapik kasut dan sembur dengan penyembur pembasmi kuman tersebut. Biarkan ia kering selama 24 jam.
Paling penting, pastikan anda menjaga kebersihan diri, kasut, pakaian dan sekeliling sebaik mungkin. Dapatkan nasihat daripada doktor jika masalah masih berlarutan.
Semoga bermanfaat ????????????????????
–THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost


Leave a Reply