Tuesday, May 28, 2024
HomeBERITA3,069 peserta Perhimpunan Tabligh Masjid Seri Petaling jalani pemeriksaan di klinik kesihatan

3,069 peserta Perhimpunan Tabligh Masjid Seri Petaling jalani pemeriksaan di klinik kesihatan

Dato’ Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, seramai 4,942 peserta yang telah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling telah berjaya dikenalpasti sehingga jam 7 petang semalam dan 3,069 darinya telah datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan.

Seramai 137 orang peserta telah dirujuk ke hospital, manakala 1,634 orang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan telah diambil sampel dan 2,932 peserta telah diarahkan bagi menjalani home surveillance di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

Penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan dan daripada 41 kes baharu secara keseluruhan yang telah dilaporkan pada hari ini:-

1) tiga (3) kes adalah kontak rapat kepada kluster kes ke-33 yang dilaporkan sebelum ini.

2) satu (1) kes mempunyai sejarah perjalanan ke Iran.

3) 37 kes pula adalah kes baharu disahkan positif COVID-19 yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan tersebut.

Jumlah kumulatif kes yang disahkan dijangkiti COVID-19 yang berkaitan perhimpunan tersebut sehingga ke hari ini adalah 77 kes dan mengikut pecahan negeri :-

1- Sabah 26 kes;
2- Negeri Sembilan 11 kes;
3- Sarawak 6 kes;
4- Johor 5 kes;
5- Melaka 5 kes;
6- Selangor 5 kes;
7- Pulau Pinang 5 kes;
8- Kelantan 3 kes;
9- Perak 2 kes;
10- Wilayah Persekutuan Labuan 2 kes;
11- Pahang 2 kes;
12- Kedah 2 kes;
13- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya 2 kes;
14- Perlis 1 kes.

Kesemua 77 kes ini masih dirawat di hospital. Satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan stabil.

KKM turut menasihati orang awam yang telah menyertai perhimpunan tabligh tersebut yang belum menjalani pemeriksaan agar menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut yang perlu diambil manakala jemaah yang telah diarahkan untuk menjalani home surveillance di rumah dinasihatkan untuk mematuhi arahan ini bagi mencegah penularan COVID-19.

Selain itu, ahli keluarga kepada peserta yang telah diarahkan menjalani home surveillance diminta untuk:

i. sentiasa mengingatkan dan memastikan agar arahan ini dipatuhi demi kesejahteraan komuniti,
ii. mengambil langkah-langkah yang boleh menghindarkan diri dan ahli keluarga yang tinggal serumah daripada dijangkiti COVID19, termasuk memastikan peserta memakai topeng muka (face mask) sekiranya keluar dari bilik dan elakkan bersentuhan;
iii. menasihati ahli keluarga agar sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan yang tinggi termasuk penjagaan kebersihan diri dan persekitaran yang bersih.

Individu atau organisasi yang bercadang mengadakan perkumpulan yang melibatkan jemaah tabligh serta orang awam perlu dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi pemantauan dan nasihat kesihatan

Mengambilkira jemaah tabligh telah pulang ke negeri masing-masing, semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah berusaha keras bagi mengesan dan menjalankan saringan ke atas mereka yang telah hadir ke perhimpunan tersebut serta kontak rapat mereka yang positif COVID-19 Selain itu, KKM ingin memaklumkan bahawa tindakan terkini yang telah diambil oleh beberapa buah JKN; iaitu:
i. JKN Perlis telah menempatkan 64 jemaah tabligh di Dewan Wawasan 2020 bagi menjalani perintah pengawasan dan pemantauan (home surveillance) ke atas jemaah tabligh yang telah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.
ii. JKN Labuan telah menetapkan Klinik Kesihatan Membidai, Labuan untuk saringan COVID-19 kepada Jemaah tabligh yang telah menghadiri perhimpunan tersebut serta individu yang telah menghadiri Program Klinik Hukum bersama Mufti Wilayah.
iii. JK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya telah menjalankan aktiviti saringan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling sejak 12 Mac 2020.

Masjid ini telah ditutup untuk disinfeksi dan premis itu juga digunakan untuk home surveillance jemaah dan pelajar madrasah yang ada di situ untuk tempoh 14 hari dari tarikh kes positif COVID-19 terakhir yang dikesan.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments