Pakej Pelan Data dan Peranti menghapuskan diskriminasi teknologi kepada pelajar IPT

0

Setiap daerah dan negeri di Malaysia kini merupakan bilik kuliah terbesar di dunia kepada 1.2 juta pelajar Insitut Pengajian Tinggi (IPT),  terima kasih kepada pelaksanaan pelan data dan peranti oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pelaksanaan pelan data dan peranti oleh Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ini telah meletakkan negara sebagai pusat pengajian tinggi ulung di dunia yang memberi akses pendidikan tinggi kepada setiap pelajar  tidak kira daripada golongan B40, M40 dan T20.

Satu tindakan yang patut disanjung tinggi kerana ia  tidak merencatkan pendidikan tinggi negara selain menamatkan diskriminasi  kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Bayangkan jika kementerian mengambil pendekatan menangguhkan pendidikan tinggi di negara ini,  setiap pelajar di arah bercuti dan tidak ada pendaftaran baru bagi pelajar baru, tentunya negara akan terkebelakang dalam pendidikan tinggi  apabila terhenti entah berapa lama akibat wabak Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad / Menteri Pengajian Tinggi

Tindakan ini juga memberi kesan amat besar bagi memberi kesaksamaan kepada pelajar-pelajar IPT dan membebaskan negara ini dari ketidaksamaan di kalangan rakyat di mana kini semua mempunyai peluang dan ruang untuk mendapatkan pendidikan tinggi di menara gading.

Datuk Seri Dr. Noraini semasa temubual eksklusif bersama The Malaya Post  memberitahu, bahawa wabak Covid-19 ini sebenarnya telah menjadi agen transformasi dominan dalam aspek pendidikan.

“Kementerian telah mengambil beberapa langkah dengan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memudahkan para pelajar sekalian akses kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

“Proses pengajian pelajar kini  menjadi lebih kondusif di samping sedikit sebanyak berupaya meringankan bebanan kewangan yang dihadapi. Ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang datang dari kelompok keluarga B40 dan berada di kawasan yang liputan internetnya kurang memuaskan,” katanya kepada The Malaya Post.

Tambah beliau, PdP secara dalam talian ini akan menjadi pemangkin kepada aktiviti PdP berteknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan Revolusi Pendidikan 5.0 yang telah memacu usaha mengarusperdanakan pembelajaran dalam talian tahap global.

Datuk Seri Dr. Noraini berkata ini selaras dalam apa yang dinyatakan dalam lonjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Melalui inisiatif ini, KPT menawarkan Pemberian Bantuan Tunai Sebanyak RM50 kepada semua Pelajar Baharu Sesi 2020/2021 yang keseluruhannya bernilai RM3.8 juta.

Ia melibatkan 76,153 orang pelajar dan peruntukan ini datang daripada penjimatan perbelanjaan geran mengurus KPT susulan COVID-19.

Kementerian juga memberi bantuan pelan data kepada pelajar B40 dan pakej pelan data interaktif kepada semua pelajar IPT di seluruh negara yang kini telah melibatkan seramai 320,396 orang pelajar kategori B40.

Selain  itu, sebanyak 225,784 unit kad SIM diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, khususnya Yayasan YTL dan Lembaga Tabung Haji.

Peruntukan sebanyak RM24 juta bagi  94,612 orang pelajar untuk pemberian tunai bagi tujuan pembelian pelan data di mana pelajar IPT bakal menikmati Pakej Pelan Data Interaktif Istimewa yang khusus ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Telekom Malaysia dan Maxis.

KPT juga menyediakan bantuan komputer riba dianggarkan bernilai RM13 juta kepada pelajar B40 bersasar dengan memperuntukkan sebanyak 8,965 unit peranti komputer riba khusus kepada pelajar di bawah kategori B40 secara bersasar.

“Seramai 5,965 orang pelajar bakal menerima bantuan komputer riba secara percuma. Selain itu, seramai 2,700 orang pelajar pula akan menerima bantuan dalam bentuk pemberian tunai bagi tujuan yang sama manakala seramai 300 orang pelajar akan menikmati bantuan pinjaman kewangan bagi memiliki komputer riba yang diperlukan dengan tawaran harga istimewa,’’ katanya.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Profesor Dr. R Badlishah Ahmad menegaskan inisiatif pelan data dan peranti KPT ini langkah tepat untuk menyemarakkan semangat pelajar menjalani fasa baharu dalam pengajian tinggi masing-masing.

“Insentif yang disediakan kepada pelajar sedia ada juga terutama pakej pelan data interaktif istimewa kepada semua pelajar IPT pastinya dapat memberi lebih pilihan kepada pelajar untuk memilih pelan data dengan liputan terbaik mengikut lokasi masing-masing.

“Dalam situasi seperti ini, kepelbagaian tawaran oleh syarikat telekomunikasi merupakan antara elemen penting dalam memastikan pelajar di beri pilihan nilai yang terbaik berdasarkan kepada taburan Universiti Awam (UA) di seluruh negara berbanding pemilihan satu syarikat telekomunikasi sahaja, ’’ tegasnya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Durrishah  Idrus ketika di hubungi berkata, sumbangan tersebut amat bermakna kepada pelajar-pelajar IPT khususnya pelajar UTM yang sebilangan pelajar adalah terdiri daripada golongan B40.

“Inisiatif KPT ini kerana faham kemampuan sesetengah pelajar yang mempunyai kekangan kewangan serta berada di luar liputan untuk akses kepada internet yang akan dapat membantu pelajar untuk menghadiri kelas dalam talian dan lain-lain aktiviti pembelajaran tanpa gangguan,” kata beliau. –THE MALAYA POST

Penulis adalah bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan wartawan Utusan Malaysia.

Hata Wahari / Penulis

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply