Wednesday, May 15, 2024
HomeBERITAHaniff Khatri saran Peguam Negara tarik diri daripada membuat keputusan kes cabul...

Haniff Khatri saran Peguam Negara tarik diri daripada membuat keputusan kes cabul luar tabii yang melibatkan Anwar Ibrahim

Peguam kanan, Tuan Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyarankan agar Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menarik diri daripada melihat fail atau memberi apa-apa arahan apatah lagi untuk membuat keputusan berkaitan kes cabul luar tabii yang membabitkan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pengadu Muhammed Yusoff Rawther.

“Sebelum ini saya telah menulis satu teguran atau saranan  kepada Tommy Thomas sebagai Peguam Negara bahawa ada baiknya dari segi kedaulatan undang-undang supaya beliau secara peribadi menarik diri daripada mengendalikan apa bentuk tindakan berhubung kertas siasatan aduan Yusoff Rawther ini”, katanya dalam sesi temubual oleh blogger Minaq Jinggo.

“Berkaitan perkara ini saya telah pun menulis apabila dimaklumkan melalui media bahawa pihak polis telah atau akan berjumpa dengan pihak Peguam Negara pada 6 Januari lalu,” ujarnya.

Memberitahu lanjut, atas nasihat dan saranan berkenaan, Tuan Haniff Khatri mengimbas kembali pendapat Tan Sri Tommy Thomas pada masa terdahulu ketika beliau menjadi peguambela dan peguamcara swasta, sebelum dilantik sebagai Peguam Negara.

“Pada tahun 2008 dan 2012 semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dituduh di mahkamah bersabit apa yang digelar sebagai sodomi dua ke atas saudara Saiful Bukhari.

“Perkara itu adalah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada masa itu mendapati Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah pada masa itu.

“Sabitan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim berlaku di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bukan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Menurutnya, selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Tommy Thomas yang pada ketika itu adalah seorang peguambela dan peguamcara swasta di mana sebelum beliau menjadi Peguam Negara, telah menulis satu artikel mengenai pandangan beliau bersabit kes berkenaan.

Ia telah disiarkan di Malaysian Bar Website pada 20 Januari 2012 dan telah diulang cetak di dalam Buletin Aliran di mana secara ringkas, Tan Sri Tommy Thomas memberi pandangan bahawa segala proses yang membawa Dato’ Seri Anwar kepada kes sodomi kedua adalah konspirasi politik yang melibatkan mahkamah, pihak pendakwaraya, pihak siasatan dan juga kerajaan pada ketika itu.

https://www.malaysianbar.org.my/members_opinions_and_comments/why_was_anwar_ibrahim_acquitted_tommy_thomas.html

Ujar Tuan Haniff apa yang menjadi persoalan di sini, jika Tan Sri Tommy Thomas pada masa itu berpendapat bahawa elegasi atau pertuduhan yang dibawa oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah konspirasi politik bagaimanakah pandangan beliau sekarang (tahun 2020) dalam satu tuduhan salah laku seksual lagi yang sama walaupun bukan sodomi.

Kini ia membabitkan kes cabul dalam kategori seksual.

Bagaimana beliau boleh menilai kertas siasatan sebagai seorang Peguam Negara yang telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Begitu juga di dalam laporan tahun 2012 ada juga diberi pandangan secara ringkas, secara sampingan oleh peguam Tommy Thomas pada ketika itu seolah-olah beliau tidak menyokong jenayah-jenayah yang berbentuk seks di luar tabii.

“Jadi bagaimanakah dengan pandangan tersebut beliau boleh membuat keputusan di atas aduan cabul di luar tabii dan sehingga ke hari ini iaitu 11 Januari 2020, saya masih menanti jawapan dari beliau dan berharap prinsip kedaulatan undang-undang dipatuhi dalam kes ini,” tambahnya lagi.

Atas dasar itu juga Tuan Haniff Khatri juga meminta dan menyarankan prinsip kedaulatan undang-undang dipatuhi sekali lagi agar Tan Sri Thomas menarik diri dalam kes ini seperti kes pembebasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Jangan kita lupa dalam kes pembebasan atau representasi Lim Guan Eng beliau telah dengan betul membuat pengumuman kepada orang awam bahawa beliau menarik diri daripada membuat keputusan representasi kes Lim Guan Eng kerana beliau pernah menjadi peguam Lim Guan Eng,” katanya.

Terdahulu, pihak polis telah memberitahu pihak mereka telah selesai menyediakan fail siasatan berkenaan dan telahpun memanjangkannya ke Pejabat Peguam Negara pada 6 Disember lalu.

Setakat ini pihak polis masih menunggu arahan lanjut dari Peguam Negara.

Yang pasti ia hanya satu bulan setelah laporan polis dibuat oleh Yusoff Rawther pada 7 Disember lalu pihak polis telah berjaya membawa fail kertas siasatan kepada terbabit kepada Peguam Negara.

Untuk itu Tuan Haniff Khatri menzahirkan penghargaan terhadap segala usaha yang dilakukan oleh pihak polis melengkapkan siasatan dengan pantas.

7 Disember lalu Yusoff Rawther telah membuat laporan polis dan menyerahkan akuan bersumpah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Yusoff memaklumkan laporan itu dibuat supaya polis menyiasat dakwaannya dicabul oleh Dato’ Seri Anwar selain mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PKR berkenaan.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments