Di Yunnan, Doktor di barat daya China terkejut apabila menemui 180 batang paku besi bersama pelbagai objek logam lain dalam perut seorang lelaki yang mendapatkan rawatan selepas mengalami muntah berulang dan sakit perut.
Pemeriksaan imbasan mendapati sejumlah besar objek logam telah terkumpul dan bergumpal di dalam perut pesakit sehingga menyebabkan organ tersebut mengembang dan tertarik ke bawah akibat berat kandungannya.
Lapor media, pasukan perubatan kemudian menjalankan pembedahan selama hampir tiga jam untuk mengeluarkan kesemua objek berkenaan yang keseluruhannya mempunyai berat lebih satu kilogram.
Selain paku, doktor turut menemukan syiling, skru, nat dan magnet. Salah satu paku yang dikeluarkan dilaporkan hampir 10 sentimeter panjang.
Ketua doktor Jabatan Pembedahan Hepatobiliari dan Pankreas hospital berkenaan, Li Wei berkata, pemeriksaan mendapati bahagian dalam perut pesakit mengalami ulser dan hakisan.
Bagaimanapun, keadaan pesakit tidak menjadi lebih serius apabila paku-paku tersebut tidak menembusi dinding perut atau memasuki usus.
Doktor percaya magnet yang turut berada dalam perut menyebabkan paku-paku tersebut melekat dan bergumpal antara satu sama lain. Sebahagian paku juga dipercayai menjadi bermagnet akibat berada bersama objek berkenaan.
Pesakit kini dilaporkan stabil dan menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan.
Doktor turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan kejadian tertelan objek asing, khususnya objek tajam atau logam, kerana ia boleh tersangkut dalam saluran pencernaan, mencederakan organ dan dalam kes serius menyebabkan peritonitis yang boleh mengancam nyawa.–THE MALAYA POST

Leave a Reply