KUALA PILAH, 19 Julai — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara rasmi mempertaruhkan Dato’ Sri Megat D. Shahriman bin Dato’ Zaharudin sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti (N16) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau akan berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi, dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa.

Seorang calon yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepimpinan organisasi, pembangunan masyarakat dan sukan di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
Beliau merupakan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia sejak 2019, selain memimpin Persatuan Goalball Malaysia, Persatuan Renang Para Malaysia dan Persatuan Kanu Negeri Sembilan. Di peringkat antarabangsa, beliau turut menganggotai beberapa badan sukan, sekali gus mencerminkan penglibatan aktif dalam pembangunan sukan, khususnya sukan para.

“Saya menawarkan diri bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk berkhidmat. Keutamaan saya adalah mendengar denyut nadi rakyat Seri Menanti dan berusaha membawa penyelesaian yang realistik demi kesejahteraan serta pembangunan kawasan ini,” kata Dato’ Sri Megat.
Kerusi DUN Seri Menanti dijangka menjadi antara tumpuan pada PRN Negeri Sembilan kali ini apabila tiga gabungan politik utama mempertaruhkan calon masing-masing untuk merebut sokongan pengundi.
Pengundian pada 1 Ogos depan akan menentukan wakil rakyat yang bakal membawa suara penduduk Seri Menanti di Dewan Undangan Negeri bagi penggal akan datang. – The Malaya Post

Leave a Reply