PUTRAJAYA, 4 Mei – “Kes ini membabitkan kemusnahan dua kehidupan,” kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Noorin Badaruddin, ketika menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap Rosmaini Abdul Raof atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester, lima tahun lalu.
Hukuman maksimum itu diputuskan selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 10 tahun yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Keputusan dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Azman Abdullah, bersama Noorin dan Mohd Radzi Abdul Hamid.
Dalam penghakimannya, Datuk Noorin menegaskan hukuman terdahulu tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan, memandangkan ia bukan kes kecederaan biasa, sebaliknya serangan kejam berterusan terhadap mangsa yang sedang mengandung sehingga menyebabkan mangsa kini berada dalam keadaan vegetatif kekal.

Beliau berkata, bukti menunjukkan kecederaan yang dialami mangsa amat parah, termasuk pendarahan otak, patah di beberapa bahagian dan kerosakan neurologi teruk, menjadikan mangsa tidak lagi berupaya pulih dan bergantung sepenuhnya kepada penjagaan orang lain.
Tambahnya, kesan terhadap keluarga mangsa amat menyayat hati apabila mangsa digambarkan seperti “mayat hidup” yang memerlukan penjagaan sepenuh masa tanpa sebarang harapan untuk sembuh.
Menurutnya lagi, perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan mangsa, malah turut memberi kesan kepada anak yang dikandung ketika kejadian, yang kini mengalami kelewatan perkembangan serta kecacatan.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan hukuman maksimum wajar dikenakan bagi mencerminkan keseriusan kesalahan, menegakkan keadilan serta memberi mesej tegas terhadap perbuatan sedemikian.
Sebelum ini, pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen bertarikh 9 Disember 2024 yang mensabitkan Rosmaini dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Pada 17 Jun 2021, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu.–THE MALAYA POST

Leave a Reply