UMNO Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menyunting serta menyebarkan imej penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, perbuatan berkenaan bukan sahaja menghina peribadi Baginda, malah ia adalah penghinaan terbuka terhadap institusi Kesultanan Selangor yang disifatkan sebagai lambang kedaulatan negeri, payung rakyat serta tonggak keharmonian yang wajib dipertahankan.
Katanya, tindakan sedemikian menunjukkan sikap melampau, tidak bertamadun dan langsung tidak menghormati undang-undang, adat serta tatasusila rakyat Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang berani memperlekeh, menghina atau mencabar martabat institusi diraja mesti dikenakan tindakan paling tegas tanpa sebarang kompromi.
Sehubungan itu, UMNO Selangor telah membuat satu laporan polis supaya siasatan segera dijalankan, dalang sebenar dikenal pasti, pelaku ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mendesak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta semua agensi penguatkuasaan supaya bertindak pantas dan tegas tanpa sebarang kelewatan.

Beliau menambah bahawa rakyat Selangor menjunjung tinggi institusi diraja dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan mencemarkan maruah negeri itu.
Katanya lagi, UMNO Selangor akan terus berdiri teguh di barisan hadapan mempertahankan maruah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu daripada sebarang penghinaan dan ancaman.–THE MALAYA POST

Leave a Reply