Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAUMNO: Antara Prinsip, Amanah Kenegaraan dan Masa Depan Politik Melayu

UMNO: Antara Prinsip, Amanah Kenegaraan dan Masa Depan Politik Melayu

Dalam politik, keberanian bukan sekadar keberanian untuk menang, tetapi keberanian mempertahankan prinsip walaupun berdepan tekanan. Inilah realiti yang sedang dilalui UMNO hari ini.

Dalam landskap politik pasca PRU-15 yang tidak menentu, UMNO memilih untuk memikul amanah kenegaraan demi kestabilan negara. Ia bukan keputusan mudah, apatah lagi sedar risikonya dari sudut politik. Namun demi negara, UMNO memilih jalan yang lebih sukar, tetapi bertanggungjawab.

Perlu ditegaskan dengan jelas: UMNO tidak pernah takut kepada DAP.

UMNO berani berbeza, berani menolak, dan berani mempertahankan prinsip apabila ia bercanggah dengan Perlembagaan dan asas perjuangan parti.

Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bukanlah kerjasama politik, tetapi kerjasama pentadbiran demi kestabilan negara. Hakikatnya, perbezaan antara UMNO dan DAP sangat ketara.

UMNO berpaksikan:

  • Perlembagaan Persekutuan
  •  Islam sebagai agama Persekutuan
  • Institusi Raja-Raja Melayu
  • Kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera

Manakala DAP sejak sekian lama membawa pendekatan liberal dan kesamarataan mutlak. Justeru, kegusaran akar umbi UMNO terhadap keberadaan UMNO dalam kerajaan perpaduan ini berasas dan perlu difahami.

Namun yang penting, UMNO tidak pernah menggadaikan prinsip. Sebaliknya, kehadiran UMNO dalam kerajaan menjadi benteng agar dasar negara tidak terpesong.

Antara bukti jelas ialah pendirian UMNO terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Walaupun isu ini sering dibangkitkan, UMNO kekal tegas bahawa UEC tidak boleh diiktiraf selagi tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, penggunaan Bahasa Melayu, serta kandungan kurikulum yang menepati semangat Perlembagaan.

Hasilnya, dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang di umum hari ini, kerajaan mewajibkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dimasukkan dalam UEC.

Dalam isu RUU Pembangunan Semula Bandar (URA) pula, UMNO menolak pembentangan tergesa-gesa di Parlimen. Atas arahan Presiden, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Datuk Seri Johari Abdul Ghani, satu konvensyen khas diadakan bagi memperhalusi dasar tersebut agar hak pemilik asal, khususnya orang Melayu bandar, terus terpelihara. UMNO tidak membenarkan pembangunan menjadi alat peminggiran atau pemindahan hak secara senyap.

Begitu juga isu Kampung Baru Cina dan cadangan pengiktirafan UNESCO yang tidak diteruskan hasil ketegasan UMNO.

Lebih penting, UMNO kekal konsisten mempertahankan Perlembagaan Persekutuan daripada dicabar secara terbuka atau tersirat. Ini termasuk menolak naratif kesamarataan mutlak seperti yang terkandung dalam Deklarasi Setapak DAP, yang mengabaikan realiti sejarah dan kontrak sosial negara.

Bagi UMNO, kesamarataan mesti berteraskan Perlembagaan, bukan menghapuskan kedudukan Bumiputera yang menjadi asas pembinaan negara sejak merdeka.

Kepada pihak yang sering sinis melabel kami dengan gelaran “UMDAP”, perlu juga diingatkan bahawa PAS dan BERSATU sendiri pernah berada dalam pakatan politik yang sama bersama DAP. Dalam sejarah politik negara, PAS telah dua kali bekerjasama dengan DAP, iaitu melalui Barisan Alternatif dari tahun 1999 hingga 2001, serta Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015.

Manakala BERSATU pula secara rasmi pernah bergabung dengan DAP menerusi Pakatan Harapan dari tahun 2016 hingga 2020, yang kemudiannya membentuk kerajaan selepas kemenangan dalam PRU14.

Hakikat ini membuktikan bahawa kerjasama politik rentas parti bukanlah sesuatu yang asing atau luar biasa dalam landskap politik Malaysia, sebaliknya merupakan realiti strategi politik.

Bezanya, UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bukan atas dasar pakatan politik atau ideologi, tetapi untuk kestabilan politik negara, selaras dengan titah dan keperluan pada waktu itu.

Melangkah Ke Hadapan

Selepas hampir 38 bulan memikul amanah dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO membuktikan keupayaannya mentadbir dalam keadaan mencabar.

Kini, dengan berbaki kurang daripada dua tahun menuju PRU ke-16, UMNO mula memfokuskan usaha memperkukuh parti dan memperkasa politik orang Melayu secara lebih tersusun dan berwawasan. Atas dasar itulah Presiden UMNO mengilhamkan gagasan Rumah Bangsa, Kolaborasi Agung dan Musyawarah Nasional sebagai wadah penyatuan, perbincangan dan penentuan hala tuju masa depan.

Dalam landskap politik semasa yang penuh dinamik dan kepelikan, langkah ini bukan sesuatu yang janggal.

Sebaliknya, ia mencerminkan kematangan sebuah parti yang memahami realiti politik.

Yang pasti, UMNO bukan parti yang tunduk atau terikat kepada mana-mana pihak. UMNO kekal bebas menentukan haluan, berani membuat keputusan dan teguh mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Inilah UMNO, parti yang berakar pada sejarah, berpijak pada realiti, dan melangkah ke hadapan dengan keyakinan.

NIK SURYANI MEGAT DERAMAN

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments