KUALA LUMPUR, 18 Januari 2026 – AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd., selaku pengurus AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT), memaklumkan bahawa siasatan berhubung insiden yang berlaku di Universiti HELP, Bukit Damansara, masih sedang dijalankan dan belum mencapai sebarang kesimpulan rasmi.
Dalam satu kenyataan hari ini, AmanahRaya REIT menjelaskan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan segera sebaik insiden tersebut dilaporkan pada 12 Januari lalu dengan melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi membolehkan penilaian menyeluruh dijalankan ke atas kawasan terjejas serta struktur sekitarnya.
Antara langkah yang diambil termasuk pelantikan pasukan forensik bebas, selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta perkhidmatan kecemasan.
Menurut kenyataan itu, semua tindakan berkenaan bertujuan memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara telus, profesional dan menyeluruh, selaras dengan keperluan keselamatan serta pematuhan piawaian kawal selia.
“AmanahRaya REIT turut bekerjasama rapat dengan pihak Universiti HELP bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua individu yang terkesan kekal sebagai keutamaan utama,” menurut kenyataan tersebut.

Tambahnya, pihak pengurusan mengambil maklum pendirian pihak berkuasa bahawa siasatan masih berjalan dan tiada sebarang keputusan muktamad dapat dibuat pada peringkat ini. Sehubungan itu, AmanahRaya REIT menegaskan komitmennya untuk terus memberikan kerjasama penuh sehingga semua dapatan disahkan secara rasmi.
Sebagai pemilik hartanah, AmanahRaya REIT juga bekerjasama dengan Universiti HELP serta pengurus hartanah yang dilantik, Knight Frank Malaysia Sdn. Bhd., bagi melaksanakan pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko dan langkah-langkah pencegahan yang diperlukan di premis terlibat.
Langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada peranan berterusan AmanahRaya REIT dalam memastikan persekitaran kampus yang selamat dan terjamin, termasuk melalui pelaksanaan penyelenggaraan berkala serta pematuhan kepada protokol keselamatan yang ditetapkan.
“AmanahRaya REIT merakamkan keprihatinan terhadap semua pihak yang terkesan akibat insiden ini dan kekal komited untuk menyokong Universiti HELP serta komuniti kampus sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Pihak pengurusan turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada penyelesaian siasatan dan pengesahan rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan.–THE MALAYA POST

Leave a Reply