Menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2025, suasana politik dalaman parti berada dalam keadaan yang tidak menentu. Beberapa peristiwa besar berlaku dalam tempoh yang hampir serentak dan mencetuskan ketegangan, bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO, tetapi juga dalam kalangan penyokong atas pagar dan pemerhati yang memerhati dengan senyap.
Antaranya ialah perkembangan berkaitan isu addendum melibatkan Najib Razak, keputusan-keputusan berkaitan kes 1MDB, serta implikasi politik yang terbit daripadanya. Semua ini berlaku ketika UMNO sedang berada dalam Kerajaan Perpaduan (Kerajaan MADANI), satu realiti politik baharu yang masih sedang difahami dan cuba diterima sepenuhnya oleh akar umbi.
Ramai perwakilan yang hadir ke PAU sebenarnya datang dengan tanda tanya besar. Ke mana arah UMNO selepas ini? Adakah UMNO akan terus kekal dalam Kerajaan MADANI? Apakah identiti UMNO dalam landskap politik yang semakin berpecah dan emosional? Ketegangan itu nyata. Tetapi apa yang menarik, dan wajar direkodkan secara adil, ialah keupayaan kepimpinan parti menguruskan ketegangan ini dengan matang dan tersusun.
Kepimpinan UMNO tidak menafikan keresahan. Sebaliknya, mereka berusaha menyusun semula naratif. Bukan untuk menutup realiti, tetapi untuk memberikan penjelasan yang lebih masuk akal kepada pimpinan akar umbi. Naratif yang dibentangkan bukan bersifat reaktif, tetapi berteraskan kesinambungan sejarah dan realiti semasa.
Dalam konteks inilah, gagasan “Rumah Bangsa” yang diketengahkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, kelihatan tepat pada masanya.
Rumah Bangsa bukan sekadar slogan. Ia adalah pengakuan bahawa UMNO memilih untuk menjadi wadah penyatuan, bukan medan permusuhan sesama sendiri. Ia membawa mesej bahawa UMNO tidak melihat politik Melayu sebagai ruang sempit, tetapi sebagai rumah besar yang mampu menampung perbezaan pendekatan, selagi matlamatnya adalah kestabilan bangsa dan negara.
Berbual dengan para veteran UMNO sepanjang PAU, satu perkara menjadi semakin jelas. UMNO bukan parti yang asing dengan ujian. Parti ini telah melalui pelbagai fasa getir, bermula daripada penentangan kepada penjajah, konflik pasca-merdeka, krisis ekonomi, perpecahan dalaman, sehinggalah kehilangan kuasa pada peringkat Persekutuan. Namun UMNO masih berdiri.
Sejarah juga membuktikan bahawa semua Perdana Menteri Malaysia lahir daripada tradisi politik UMNO. Ada yang kekal dalam parti, ada yang akhirnya meninggalkan UMNO, tetapi DNA kepimpinan mereka terbentuk dalam sistem dan budaya UMNO. Malah, antara pemimpin terbaik yang pernah disaksikan negara ini sama ada di peringkat pentadbiran, diplomasi atau Pembangunan datang daripada latihan dan pengalaman dalam UMNO. Ini bukan nostalgia. Ini adalah fakta sejarah.
Kepimpinan UMNO, sama ada di peringkat akar umbi mahupun tertinggi, secara umumnya terlatih, berpengalaman dan memahami seni tadbir urus. Maka apabila ada yang bertanya sama ada UMNO akan terus terhakis sehingga “lenyap”?
Jawapannya semakin jelas: UMNO tidak ke mana-mana. Jika UMNO tidak ke mana-mana, maka persoalan seterusnya ialah: “Di mana UMNO harus berdiri? Di sinilah makna Rumah Bangsa menjadi relevan. Ia mencerminkan keterbukaan UMNO untuk :
- Menerima parti-parti Melayu lain untuk bersama dalam satu kerangka yang lebih besar,
- Memperlihatkan kebesaran jiwa dan keterbukaan UMNO terhadap mereka yang pernah meninggalkan parti.
- Meletakkan kepentingan bangsa dan negara mengatasi dendam politik.
Rumah Bangsa menggambarkan sifat UMNO yang sebenar iaitu tegas dalam prinsip, tetapi terbuka dalam pendekatan.
PAU kali ini akhirnya menjadi medan penyatuan, bukan perpecahan. Ia tidak menjanjikan kesempurnaan, tetapi ia memberikan arah. Dan dalam politik, arah yang jelas lebih penting daripada janji yang kosong.
UMNO mungkin pernah jatuh. UMNO mungkin pernah diuji. Tetapi jika sejarah menjadi panduan, satu perkara sukar dinafikan:
UMNO masih relevan, dan UMNO akan terus menjadi tempat anak bangsa berteduh. UMNO akan terus menjadi rumah. Rumah Bangsa.–THE MALAYA POST

Penulis, Nurul Ashiqin Shamsuri adalah Pengarah Program Sekretariat Penerangan Wanita UMNO Malaysia

Leave a Reply