Saturday, November 21, 2026
HomeBERITARumah Bangsa dan Kolaborasi Agung

Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung

Dalam politik, tidak semua keputusan lahir daripada idealisme semata-mata. Politik bukan hanya tentang prinsip, tetapi juga tentang kelangsungan, kebijaksanaan membaca realiti, serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

PAU 2025 telah berakhir semalam, dengan menyaksikan perwakilan sebulat suara setuju dengan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa serta cadangan pembentukan satu gabungan besar atau kolaborasi agung bagi menyatukan parti-parti Melayu yang di usulkan Presiden UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih metafora “rumah” untuk menggambarkan UMNO. Sebuah rumah tempat ahli dilahirkan, dibesarkan, berlindung dan berhimpun. Sebuah rumah yang sentiasa terbuka untuk mereka yang pernah “berhijrah” ke parti lain, sekiranya mahu kembali.

Metafora ini kedengaran lunak, menyentuh emosi dan sarat dengan nilai sentimental. Ia mengingatkan tentang asal-usul, nostalgia perjuangan dan ikatan sejarah. Namun di sebalik bahasa yang lembut itu, terselit mesej politik yang cukup jelas, UMNO mahu dilihat sebagai wadah besar, inklusif dan bersedia memimpin usaha penyatuan Melayu sekali lagi.

Dalam ucapan pengulungan, Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan menyatakan bahawa landskap politik dunia kini semakin condong kepada politik identiti. Kenyataan ini bukan retorik kosong. Ia mencerminkan realiti global di mana faktor bangsa, agama dan identiti budaya semakin dominan dalam menentukan sokongan politik.

Dalam konteks ini, UMNO melihat keperluan untuk kembali memposisikan diri sebagai peneraju penyatuan Melayu secara strategik, bukan sekadar sebagai parti politik, tetapi sebagai payung besar kepada kepentingan orang Melayu dan Islam.

Seiring dengan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut mengingatkan bahawa UMNO tidak wajar gentar dalam membuat keputusan besar demi memastikan kelangsungan masa depan parti.

Menurut beliau, politik bukan soal ketakutan, sebaliknya menuntut keberanian membaca realiti dan kebijaksanaan bertindak secara rasional. UMNO, katanya, telah melalui pelbagai fasa kerjasama dan cabaran sejak sekian lama, namun tetap kekal relevan kerana keupayaannya menyesuaikan diri tanpa mengorbankan asas perjuangan.

Kenyataan ini mengukuhkan hakikat bahawa langkah ke arah penyatuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya cerminan kematangan politik demi kelangsungan bangsa dan negara.

Mengapa UMNO?

Jawapannya mudah, kerana itulah fitrah, asal tujuan dan matlamat UMNO di tubuhkan diIstana Johor pada 1946, iaitu sebagai wadah penyatuan orang melayu.

Juga, hampir semua parti Melayu di negara ini, secara langsung atau tidak, berakar daripada UMNO, sama ada dari segi sejarah penubuhan, tokoh pengasas, mahupun DNA politiknya. UMNO adalah titik asal, tempat lahirnya ramai pemimpin yang kemudiannya memilih jalan politik masing-masing.

UMNO juga kini dalam kedudukan yang kukuh, tidak berpecah dan berantakkan seperti parti politik melayu lain.

Atas hakikat itu, UMNO mempunyai legitimasi moral dan sejarah untuk memulakan usaha penyatuan ini.

Suka atau tidak, UMNO masih menjadi tunjang politik negara. Tanpa UMNO, pembentukan kerajaan sukar dicapai dan kestabilan politik mudah tergugat. Sejarah membuktikan, setiap kali UMNO melemah, penyatuan Melayu turut gagal.

Justeru, usaha penyatuan tanpa penglibatan UMNO bukan sahaja tidak realistik, malah sukar untuk bertahan. UMNO kekal sebagai parti teras dalam politik Melayu, dan di situlah terletaknya realiti yang tidak boleh dinafikan.

UMNO sudah membuka langkah. Pintu sudah dibuka. Jemputan telah dihulurkan.

Kini, terpulang kepada individu, entiti dan parti-parti Melayu yang lain sama ada mahu menyahut seruan ini atau terus memilih jalan masing-masing.

Oleh Nik Suryani Megat Deraman, Dari Meja Ketua Pengarang

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments