Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAPAS Calonkan Dr Sam sebagai Pengerusi PN — Rahim Tamby Chik

PAS Calonkan Dr Sam sebagai Pengerusi PN — Rahim Tamby Chik

PETALING JAYA, 13 Januari 2026 — PAS telah mengemukakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam), sebagai calon bagi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Menurut Rahim, pencalonan itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Pertama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU bagi tahun 2026 yang berlangsung semalam di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pelantikan muktamad bagi jawatan Pengerusi PN hanya akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dalam mesyuaratnya yang akan datang.

Dalam hantaran Facebooknya, Rahim turut memaklumkan bahawa Presiden BERSATU telah memohon maaf kepada MPT atas keputusannya sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, yang dibuat susulan tekanan, fitnah serta pelbagai kenyataan keras terhadap beliau.

Sementara itu, mesyuarat MPT juga membincangkan krisis politik di Perlis dan menegaskan bahawa isu tersebut tidak melibatkan mana-mana pemimpin tertinggi Bersatu, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Rahim menjelaskan bahawa konflik di Perlis telah berlarutan sejak hampir setahun lalu dan melibatkan Istana, dengan DYMM Raja Perlis menitahkan PAS dan Bersatu masing-masing mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar untuk pertimbangan Baginda.

“BERSATU mematuhi sepenuhnya titah tersebut dengan mengemukakan tiga nama, namun PAS hanya mengemukakan satu nama,” katanya.

Susulan itu, DYMM Raja Perlis telah memilih ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, sebagai Menteri Besar Perikatan Nasional bagi negeri Perlis, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.

Rahim turut memaklumkan bahawa semua kes disiplin ahli BERSATU selepas ini akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pengukuhan Parti sebelum dibawa ke Jawatankuasa Disiplin, dengan garis panduan baharu akan disediakan oleh MPT bagi memperkemaskan pengurusan kes-kes tersebut.–THE MALAYA POST

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments