Krisis gangguan bekalan air yang melanda Kompleks Perumahan UniCITI Alam (KPUA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sejak beberapa hari lalu kini menunjukkan perkembangan positif apabila sebahagian blok telah mula menerima semula bekalan air pagi tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, ketika dihubungi The Malaya Post, memaklumkan bahawa beliau telah mengambil tindakan segera bagi membantu pihak universiti menangani situasi berkenaan.
“Saya telahpun menghubungi pihak pengurusan UniMAP untuk membantu mengurangkan masalah yang dihadapi para pelajar. Kita perlu bertindak pantas kerana kebajikan pelajar adalah tanggungjawab bersama. Pagi ini saya dimaklumkan bahawa sebahagian blok sudah pulih, dan usaha pemulihan penuh sedang giat diteruskan,” jelas beliau ketika dihubungi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau rapi perkembangan isu ini dan bekerjasama dengan UniMAP bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, Pusat Komunikasi Korporat UniMAP menerusi kenyataan medianya mengesahkan gangguan bekalan air berpunca daripada kebocoran saluran utama perpaipan berhampiran kawasan KPUA yang menyebabkan tekanan air menjadi terlalu rendah dan menjejaskan kehidupan seharian pelajar.
Bagi mengurangkan impak terhadap pelajar, pihak universiti telah melaksanakan lima langkah mitigasi utama, iaitu:
1. Penghantaran lori bekalan air serta tangki air statik ke setiap blok.
2. Pelaksanaan kuliah secara dalam talian untuk pelajar Fakulti Pengurusan dan Komunikasi (FPK).
3. Penyebaran maklumat melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.
4. Pemanjangan waktu operasi Pusat Kesihatan UniMAP.
5. Penyediaan pengangkutan ke masjid dan rumah ibadah berhampiran.

Pihak UniMAP juga memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan secara berterusan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply