FELDA PALONG 3, NEGERI SEMBILAN – Hujan renyai-renyai seawal pagi tidak mematahkan semangat lebih 300 peserta Program Jom Cuci Masjid (JCM) dalam menjayakan siri jelajah ke-56 yang berlangsung penuh meriah di Masjid Kariah Felda Palong 3, baru-baru ini.
Program amal dan kemasyarakatan yang telah berlangsung sejak lebih sedekad lalu itu menyaksikan konvoi motosikal berlepas dari Dataran Mini, Felda Palong 1 sekitar jam 8.30 pagi selepas acara simbolik “Flag Off”, menuju ke masjid yang dibina sejak tahun 1979.

Ketibaan peserta disambut penuh mesra dengan paluan kompang dan laungan selawat oleh penduduk setempat, memperlihatkan keakraban yang terjalin erat antara komuniti dan para bikers yang menyertai program ini

Peserta disajikan dengan juadah tradisi seperti mihun sup, mee goreng daging serta pilihan minuman panas dan sejuk sebelum meneruskan aktiviti seterusnya.
Mereka turut menunaikan solat sunat Dhuha dan mendoakan kesejahteraan umat Islam dalam menyambut Ramadan serta dikurniakan haji yang mabrur.

Bekas Ketua Kampung Felda Palong 3, Abdul Razak Abdul Sani menyatakan keyakinannya terhadap impak positif program ini dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat dan komuniti bikers.
“Masjid bukan sekadar pusat ibadah, tetapi juga menjadi medan pembangunan ilmu dan ekonomi ummah. Kerjasama seperti ini sangat bermakna dalam membina ukhuwah dan kekuatan komuniti,” ujarnya”.

Aktiviti gotong-royong mencuci masjid dan membersihkan tanah perkuburan turut dilaksanakan dengan komitmen tinggi daripada para peserta bersama jawatankuasa masjid serta penduduk kampung.
Segmen “Bicara Santai” menampilkan Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Penasihat Sifu Bikerz yang menyampaikan tazkirah mengenai pentingnya menghargai ibu bapa, memperbaiki akhlak dan memperkasa amalan bersedekah sepanjang hayat.

Menambah warna dalam majlis, kehadiran Persatuan Otai Rock Lagenda bersama penyanyi utama kumpulan Gamma, Rosli Mohd Shariff atau lebih dikenali sebagai Blank, menghiburkan hadirin dengan persembahan spontan lagu “Kembang Terhalang”.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan barangan asas kepada komuniti asnaf kariah.
Pertubuhan Kebajikan RichWell menyumbangkan beras dan barangan dapur, manakala Riders ADV Malaysia menyalurkan kelengkapan pengurusan jenazah.
DZ Bikers pula menyumbang dua unit water jet dan naskhah Surah Yasin.
Pengerusi JCM, Abd. Jalil Kamaluddin dalam ucapannya mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi memperkasa lagi program JCM di masa akan datang.

“Kami terbuka menerima sumbangan dan kolaborasi. Orang ramai boleh menghubungi kami menerusi Facebook rasmi Jom Cuci Masjid atau talian 019-2787064,” katanya.
Siri ke-56 ini sekali lagi membuktikan bahawa semangat gotong-royong, dakwah dan kebajikan mampu menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat melalui platform yang harmoni dan bermakna.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply