Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAMalaysia-Singapura mantapkan kerjasama pendidikan tinggi, pacu aspirasi ASEAN

Malaysia-Singapura mantapkan kerjasama pendidikan tinggi, pacu aspirasi ASEAN

Dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dan melonjakkan sektor pendidikan tinggi, Malaysia dan Singapura telah mencapai kata sepakat untuk memperluas kolaborasi strategik melalui inisiatif bersama yang bersifat menyeluruh.

Perbincangan ini berlangsung dalam satu majlis makan malam rasmi antara Menteri Pendidikan Malaysia dan rakan sejawatnya, TYT Chan Chun Sing dari Singapura, yang menyentuh pelbagai peluang kerjasama baharu.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata antara komponen utama yang dibincangkan ialah pertukaran tenaga pakar akademik, penyelidikan bersama, serta program mobiliti pelajar yang merangkumi universiti dan politeknik kedua-dua negara.

Langkah ini diambil bagi meningkatkan keupayaan penyelidikan dan inovasi, memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, serta membangunkan modal insan berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan masa depan.

Kerjasama ini turut memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), keusahawanan, dan pembangunan mampan, sejajar dengan agenda global menuju Revolusi Industri 4.0.

“Kolaborasi ini akan membuka ruang kepada pelbagai inisiatif penyelidikan berimpak tinggi, selain memperkukuh kedudukan kedua-dua negara sebagai hab pendidikan berkualiti di rantau ini,” ujar Zambry dalam satu kenyataan di Facebook.

Pendidikan Tinggi ASEAN Sebagai Pemacu Pembangunan Serantau

Yang nyataMalaysia turut menggunakan kesempatan ini untuk mengetengahkan hasrat memperkasakan kerjasama pendidikan tinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Tambah beliau, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia bertekad membina rangkaian pendidikan tinggi yang mampan, dengan objektif menjadikan ASEAN sebagai pusat kecemerlangan pendidikan global yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Rangkaian ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan daya saing institusi pendidikan tinggi di rantau ASEAN, tetapi juga untuk melahirkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran serantau dan global, seperti perubahan iklim, pembangunan ekonomi mampan, dan kemajuan teknologi.

Katanya Malaysia percaya bahawa rantaian kerjasama ini mampu mencetuskan lonjakan besar dalam sektor pendidikan serantau.

Dimeterai melalui MoU Strategik

Sebagai bukti komitmen bersama, satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Singapura telah ditandatangani, merangkumi beberapa bidang strategik dalam pendidikan tinggi.

MoU ini dijangka memperkukuh pelaksanaan inisiatif bersama dalam bidang seperti sains dan teknologi, penyelidikan inovatif, pembangunan sumber manusia, dan keusahawanan.

Kerjasama strategik ini diyakini akan membawa manfaat besar bukan sahaja kepada kedua-dua negara, tetapi juga kepada seluruh rantau ASEAN. Melalui sinergi dan usaha sama yang mantap, Malaysia dan Singapura bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk masa depan pendidikan tinggi yang lebih dinamik, inklusif, dan berdaya tahan.

Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua negara kini berada di landasan kukuh untuk memacu kecemerlangan pendidikan tinggi, sekaligus menjadikan ASEAN sebagai hab pendidikan bertaraf dunia.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments