Madinah, 23 Disember – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Universiti Islam Madinah Al Jamiah sempena lawatan beliau ke Madinah selepas menghadiri Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah.
Perjumpaan ini bertujuan memberi sokongan moral dan motivasi kepada pelajar yang sedang menghadapi musim peperiksaan.
Universiti Islam Madinah Al Jamiah merupakan institusi pilihan utama pelajar Malaysia untuk mendalami bidang agama.
Dalam pertemuan itu, Dr. Zambry bertanya khabar dan menjamu pelajar dengan makanan Malaysia daripada Restoran Tuuu Dia Pak Tam di Madinah.

“Inilah cabaran hidup di perantauan, namun rezeki apabila ada restoran Malaysia yang terkenal di sini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pelajar agar menetapkan sasaran untuk mencapai keputusan ‘mumtaz’ dalam peperiksaan dan menjaga nama baik negara. “Belajar bersungguh-sungguh dan kembali berbakti kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Dato’ Dr. Fathul Bari, alumni Universiti Islam Madinah tahun 2004, yang berkongsi pandangan agar graduan bidang agama turut memperluaskan peranan mereka dalam sektor awam dan pembuat dasar negara.
Pertemuan ini menekankan kepentingan sokongan moral kepada pelajar luar negara serta komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap pembangunan modal insan.
Dr. Zambry menutup pertemuan dengan pesanan kepada pelajar agar terus berusaha dan berdoa demi kejayaan.
“Jaga nama baik negara dan manfaatkan ilmu yang diperoleh untuk kebaikan masyarakat,” katanya.

Perjumpaan ini mencerminkan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan kebajikan pelajar Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply