Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAMenteri Pendidikan Tinggi santuni pelajar Malaysia di Mesir

Menteri Pendidikan Tinggi santuni pelajar Malaysia di Mesir

Kaherah, 22 Disember – Dalam rangka lawatan rasmi ke Mesir sempena Sidang Kemuncak D-8, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, meluangkan masa menyantuni lebih 150 pelajar Malaysia di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK).

Program yang diadakan dalam suasana santai itu turut melibatkan pegawai Education Malaysia (EM) dan atase pendidikan dari seluruh negeri.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperkukuh hubungan dengan pelajar Malaysia di luar negara.

Pelajar Malaysia di Mesir, yang kini berjumlah lebih 5,000 orang, merupakan antara kumpulan terbesar pelajar luar negara yang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam dan perubatan di universiti-universiti terkemuka seperti Universiti Al-Azhar.

Dalam program tersebut, Dr. Zambry berkongsi kisah hidupnya sebagai anak nelayan yang berjaya mencapai kejayaan melalui usaha gigih dan kecekalan. “Dalam hidup ini tiada yang mustahil. Apa yang penting ialah usaha tanpa mengenal erti kekecewaan,” ujar beliau, memberi motivasi kepada para pelajar yang hadir.

Beliau juga menjawab pertanyaan mengenai peluang kerjaya untuk graduan Pengajian Islam. Menurutnya, graduan bidang ini mempunyai pelbagai pilihan kerjaya termasuk pentadbiran, perniagaan, dan kemahiran profesional.

“Kementerian Pendidikan Tinggi turut memperkenalkan kursus tambahan kemahiran bagi menyediakan graduan dengan nilai tambah untuk bersaing di pasaran kerja,” tambah beliau.

Program ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada pelajar tetapi juga memperkukuh hubungan antara pelajar Malaysia di luar negara dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Penekanan terhadap pembangunan kemahiran tambahan menunjukkan komitmen kementerian untuk melahirkan graduan serba boleh yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Dr. Zambry mengakhiri pertemuan dengan pesanan agar pelajar terus berusaha mencapai kecemerlangan dan kembali menyumbang kepada negara selepas tamat pengajian. “Jadilah manusia yang bermanfaat untuk ummah,” pesan beliau.

Program “In Person with Doc Zam” yang pertama kali diadakan di luar negara ini telah meninggalkan kesan mendalam kepada pelajar dan mencerminkan kepimpinan inklusif dalam usaha membangunkan modal insan Malaysia.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments