Arab Saudi telah menghentikan usaha untuk mencapai perjanjian pertahanan dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai pertukaran untuk menormalisasi hubungan dengan Israel, menurut sumber rasmi Arab Saudi dan Barat yang bercakap kepada Reuters.
Terdahulu, Riyadh melonggarkan pendiriannya mengenai isu kenegaraan Palestin, dengan memaklumkan kepada Washington bahawa komitmen Israel terhadap penyelesaian dua negara mungkin memadai untuk mewujudkan normalisasi hubungan dengan negara Teluk itu.
Namun, serangan ketenteraan Israel di Gaza telah mencetuskan kemarahan rakyat di Arab Saudi dan seluruh Timur Tengah, memaksa Putera Mahkota Mohammed Salman menegaskan keperluan langkah konkrit untuk menubuhkan negara Palestin sebagai syarat normalisasi hubungan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tetap berusaha mendapatkan normalisasi hubungan dengan Arab Saudi sebagai pencapaian besar dalam hubungan dunia Arab.
Bagaimanapun, di peringkat domestik, beliau menghadapi tentangan terhadap sebarang konsesi kepada Palestin, terutama selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Kini, Riyadh dan Washington sedang berbincang mengenai perjanjian pertahanan berskala kecil yang diharapkan dapat diselesaikan sebelum Presiden Joe Biden meninggalkan Rumah Putih pada Januari.
Menurut sumber, perjanjian pertahanan penuh AS-Arab Saudi memerlukan pengesahan oleh Senat AS dengan majoriti dua pertiga, yang sukar dicapai tanpa pengiktirafan Riyadh terhadap Israel.
Perjanjian yang dibincangkan kini lebih tertumpu kepada latihan ketenteraan bersama dan kerjasama dalam menangani ancaman serantau, terutama dari Iran.
Selain itu, ia melibatkan perkongsian teknologi antara AS dan firma pertahanan Saudi, dengan langkah melindungi hubungan daripada pengaruh China.
Pelaburan Arab Saudi dalam teknologi canggih, terutama pertahanan dron, juga akan digalakkan.
AS akan memperkuat kehadirannya di Riyadh melalui sokongan logistik, latihan keselamatan siber, dan kemungkinan penempatan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot untuk meningkatkan keupayaan pertahanan.
Bagaimanapun, perjanjian ini tidak termasuk komitmen AS untuk melindungi Arab Saudi dalam kes serangan asing, seperti yang diharapkan Riyadh.
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply