Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan kepada semua pembahas pada PAU UMNO 2021 memanfaatkan peluang perbahasan dengan mengemukakan cadangan bernas berkaitan isu rakyat, isu pemulihan ekonomi pada fasa endemik yang patut dilakukan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO di peringkat Persekutuan.
“Apa yang paling penting sekali adalah orang nak makanan ada atas meja. Jika itu hari, orang tak dapat makanan atas meja sebab pandemik, kedai semua tutup, perniagaan tutup, orang tak ada kerja. Sekarang dah buka perlahan-lahan, apabila makanan atas meja dah ada barulah ke peringkat yang kedua macam mana dia dapat simpan sedikit duit untuk pendidikan anak-anak.
“Kalau boleh cerita mengenai hal makanan atas meja, kita boleh cerita sikit ada peruntukkan untuk anak-anak dia pergi sekolah, pada saya kalau dah tiba suasana macam ini baru kita boleh cakap pasal benda lain. Jadi selain dari cerita politik selain dari cerita pilihan raya kita juga nak cerita fasa endemik dan aktiviti pemulihan”, katanya dalam satu temubual eksklusif bersama The Malaya Post di Pejabat Naib Presiden UMNO di PWTC.
Datuk Seri Mahdzir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul berkata beliau tidak menafikan bahawa ada pemberatan kepada usul politik dibahaskan, kerana senario politik negara ini sangat luar biasa di mana parti dan kerajaan diterajui individu berlainan.
Namun katanya ia dibahaskan dari konteks aktiviti ekonomi yang perlu diusahakan oleh kerajaan supaya kombinasi antara fasa endemik dan pemulihan ekonomi itu, berjalan serentak.
“Ada pemberat juga usul politik dibahas oleh pembahas kerana pertamanya bagaimana dua kumpulan, dua pasukan yang menguruskan parti dan kerajaan kedua-duanya mempunyai signifikan yang baik untuk melonjakan parti UMNO dan Barisan Nasional untuk Pilihanraya Umum ke 15.
“Keduanya bagaimana usul boleh dikemukakan untuk tolong kerajaan juga hal yang berkaitan dengan Covid-19 pandemik ini berkaitan dengan pasca endemik. Macam mana untuk idea-idea menyatakan aktiviti ekonomi yang perlu diusahakan oleh kerajaan apa idea nak bagi supaya kombinasi antara fasa endemik dan pemulihan ekonomi itu, berjalan serentak.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan kepada semua perwakilan yang hadir dari seluruh negara agar jangan takbur, datang sebagai perwakilan yang memahami, menginsafi bahawa perjuangan UMNO masih panjang.
“Allah SWT telah memberikan kemenangan kepada BN dalam dua PRN negeri iaitu Melaka dan Johor dan juga menang pilihan raya yang kecil jadi kita tak payah datang dengan rasa takbur lah. Kita datang sebagai perwakilan yang memahami, menginsafi bahawa perjuangan kita masih panjang.
“Kita menginsafi bahawa perjalanan kita nak kembali mendominasikan politik negara ini masih memerlukan pengorbanan besar. Kita kena bermuhasabah diri nak datang Mei 2022 ni genap 4 tahun kita kalah PRU tapi Allah S.W.T tentukan dalam tempoh kalah itu kita berkuasa semula, kita cari jalan untuk membawa kebaikan”, katanya.

Seramai 18 jurucakap meliputi wakil daripada negeri, Wanita, Pemuda, Puteri, siswa berbahas pada perhimpunan itu dengan menampilkan jurucakap daripada veteran UMNO dijemput sebagai pembahas buat julung kalinya.
Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung empat hari bermula esok, akan dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka esok, disusuli dengan perhimpunan ketiga-tiga sayap itu pada Khamis.
Perhimpunan kemudian diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat, dan diteruskan hingga Sabtu sebelum menutup tirai dengan penggulungan pemimpin parti. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply