Di Kuala Terengganu, seorang pengunjung Pantai Batu Buruk cedera parah pada bahagian kepala selepas dihempap dahan pokok Ru yang patah dalam kejadian ribut pada petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa, Roslina Mohamed, 50-an dari Kampung Nail, Besut mengalami pendarahan pada kepala dan hidung.

Menurut anak kepada mangsa, Muhammad Shahrul Azlan, dia bersama ibu dan anaknya sedang berehat di kawasan pantai berkenaan sementara menunggu isterinya yang berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Katanya, isterinya dimasukkan ke hospital untuk bersalin anak ketiga mereka semalam, manakala mereka berehat di situ sementara menunggu isteri yang dibenarkan pulang hari ini.
“Ketika kejadian, ibu sedang berbual di telefon sebelum tiba-tiba dahan patah dan menghempap bahagian kepala dan belakang badannya.
“Kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan ibu tidak sempat mengelak dan saya yang terkejut dengan kejadian itu segera memeluk ibu.
“Pengunjung yang lain turut membantu menghubungi ambulans dan ketika itu, ibu masih sedar sebelum segera dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSNZ di sini, hari ini.
Ketika ini, mangsa masih menerima rawatan di HSNZ.
Difahamkan kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku, malah tiga hari lalu kejadian sama turut berlaku namun tiada kecederaan dilaporkan.–THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply