Selebriti hitam manis, Nourul atau Nurul Wahab yang pernah popular dengan lagu ‘Kerana Terluka’ akhirnya ‘terbang’ ke Bali, Indonesia bagi memulakan kehidupan baharu bersama keluarga seperti yang dirancang sejak tahun lalu.
“Hari ini adalah harinya. Alhamdulillah, selamat ‘check-in’. Terima kasih kepada yang mendoakan. Bukan mudah berjalan dengan anak kecil, tetapi Allah mempermudahkan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan lapangan terbang dan imigresen. Sayang anda semua,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam perkongsian itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 44, memuat naik video detik menunggu penerbangan bersama keluarga.
Dalam satu hantaran terdahulu, Nourul berkata beliau nekad memilih pulau berkenaan bersandarkan masa depan serta prospek pendidikan anak mereka.
“Penghijrahan ini bukan sebab apa-apa. Kami sudah lama merancang, namun tergendala akibat penularan Covid-19 dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bapa Eric pun dah 55 tahun. Tahun lepas tergendala kerana masalah permit, Alhamdulillah tahun ini dapat pindah”, katanya yang kedengaran sedikit sebak.
Nourul turut berjanji akan berkongsi perkembangan terbaru akan situasi terkini mereka di sana nanti menerusi You tube.
Perpindahan ke kediaman baharu bersama suaminya, Eric Daniel itu disertai tiga cahaya mata mereka iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella 2.
Manakala anak sulung hasil perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai, Ayu Nazirah, 23, tidak ikut serta sebaliknya menguruskan operasi perniagaan Diva Kurus di tanah air.
Terdahulu, pelantun lagu Kerana Terluka itu memaklumkan penghijrahan yang sepatutnya dibuat tahun lalu tergendala disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Untuk rekod, ibu kepada empat cahayamata yang berasal dari George Town ini mula dikenali di persada seni tanah air sekitar tahun 1995 dan pernah bernaung di bawah Syarikat Sony Music Malaysia (1995-1997), Universal Music Malaysia (1998-2000), Warner Music Malaysia (2001-2006), Alibi Music (2009-2011) dan kini NHW Productions Sdn Bhd (sejak 2012).
Antara lagu yang pernah meniti di bibir peminat ialah Kerana Terluka, Cinta Azali dan Sepenuh Jiwa.
Selain dari menyanyi, Nourul juga berlakon, mengacara dan mempunyai bakat menulis lirik.
Pernah mendirikan rumahtangga dengan komposer muzik terkenal, Ajai pada tahun 1996 dan dikurniakan seorang cahayamata perempuan, Ayu Nazirah. Mereka kemudian berpisah 11 tahun kemudian.

Nourul sekali lagi bertemu jodoh dengan pemuda kelahiran Paris bernama Eric Daniel Deep pada tahun 2012 dan kini dikurniakan tiga orang cahayamata, Zachary, Raphael dan Isabella.
Kami warga kerja The Malaya Post mengucapkan selamat maju jaya dan semoga berbahagia kepada Nourul sekeluarga.
Jangan lupa kongsi pekembangan terkini dan tempat menarik di sana nanti ya. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply