Susulan kes seorang wanita yang dipercayai dalam kesusahan dan tidak mengaku salah mengambil wang berjumlah RM40.00 dari salah sebuah masjid di Perlis.
Pihak Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Perlis dan juga sayap Armada serta Srikandi telah mengambil langkah proaktif membantu wanita berkenaan.
Menurut Ketua Penerangan Armada Perlis, Wan Zikri Afthar, wang jaminan telah di bayar di Mahkamah Seksyen Kangar jam 12.30 tengahari tadi.
Katanya pihaknya sepakat ingin membantu wanita yang dituduh, untuk diberi peluang kedua.

“Sekitar jam 12.30, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis , Tuan Abu Bakar Hamzah dan juga Ketua Penerangan Armada Negeri, Sdr. Wan Zikri Afthar telah membantu membayar ikat jamin berjumlah RM2000 di Mahkamah Seksyen Kangar, Perlis setelah barisan pimpinan Bersatu negeri Perlis sepakat ingin membantu wanita yang dituduh, untuk diberi peluang kedua.
“Pihak Bersatu negeri Perlis dengan tegas berpendapat bahawa peluang kedua ini bukanlah bermaksud kita bersetuju dengan tindakan tertuduh yang malah belum menjalani prosiding mahkamah dan dijatuhi hukuman, namun pihak Bersatu berpendapat perkara ini perlu diselesaikan dengan baik, tanpa bias ditambah menilai keberadaan atau kesusahan yang dialami oleh mangsa, nilai empati amat diperuntukkan”, katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Bersatu Perlis yang juga khuatir insiden ini mampu menimbulkan fitnah ke atas Islam dan juga institusi masjid telah menghubungi qariah masjid sejak semalam.
Katanya, Bersatu Perlis akan bertemu untuk terus berbincang dengan pihak masjid bagi mempertimbang untuk menarik balik laporan ke atas wanita berkenaan.
“Bersatu Perlis akan bertemu untuk terus berbincang dengan pihak masjid bagi mempertimbang untuk menarik balik laporan ke atas wanita yang dalam kesusahan ini.
“Bersatu Perlis juga bertekad untuk membayar kembali kerugian masjid dan juga menyumbang kepada institusi tersebut”, katanya.
Tambahnya pihak Bersatu dan Armada Perlis juga telah menyediakan peguam sekiranya tindakan undang-undang dilanjutkan.
Mengulas beberapa tuduhan peribadi ke atas wanita tersebut terkait isu penyalahgunaan dadah, Bersatu berpendapat isu kehilangan duit masjid dan kesusahan wanita itu yang dijadikan sandaran.
Katanya kes selain dari isu kehilangan wang dan kesusahan yang dialami wanita ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti.
“Apa yang penting bagi kami Bersatu adalah membantu mereka yang memerlukan dalam pada tidak menghakimi di samping menjaga aib serta maruah insan. Secara ringkasnya ikat jamin yang dilakukan mengambilkira beberapa faktor.
Ia termasuk anaknya yang masih kecil berumur 4 tahun, dikategorikan sebagai asnaf dan nilai kecurian adalah terlalu kecil.
Katanya, jika benar wanita itu mempunyai masalah moral, seharusnya pihak-pihak berwajib seperti AADK, Pusat Pemulihan, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau yang berkaitan haruslah sentiasa memantau dan memberi bimbingan agar dia dapat dibimbing.
“Memberi peluang kedua kepada OKT untuk berubah dan pulih dengan bimbingan dan pemantau oleh pihak berwajib dan masyarakat.
“OKT perlu diberikan rawatan pemulihan supaya OKT dapat kembali kepada masyarakat dan mulakan kehidupan baru. Jika di biarkan boleh mendatangkan masalah kepada masyarakat dan keluarganya”, katanya. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply