Jika semalam, kita dikhabarkan dengan berita Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Lajim Ukim ditidurkan akibat Covid-19.
Hari ini bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai, 91 tahun dilaporkan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles sejak semalam akibat jangkitan Covid-19.
Tun Sakaran dimasukkan ke hospital swasta itu sejak Rabu lalu selepas disahkan positif Covid-19.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya semakin menurun dan pihak hospital memutuskan untuk memasukkan beliau ke ICU.
Menurut anak ketiga Tun Sakaran, Datuk Seri Nasir Sakaran menerusi satu kenyataan, bapanya menunjukkan gejala seperti batuk berpanjangan sejak minggu lalu sebelum disahkan positif Covid-19.
Datuk Seri Nasir memaklumkan semasa dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu, keadaan ayahnya masih stabil.
Namun, sejak semalam tahap kesihatannya semakin menurun dan doktor menasihatkan ayahnya ditempatkan di ICU untuk pengawasan yang baik dan rapi.
“Sebelum ini, ayahanda saya ada mengadu kurang sihat termasuk mengalami batuk yang berpanjangan. Jadi, kami membawa beliau untuk mendapatkan rawatan. Kemudian, beliau disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan.
“Beliau dimasukkan ke hospital pada hari sama kerana kami bimbang dengan kesihatannya kerana usia beliau sudah memasuki 91 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan kepada media.
“Alhamdulillah sebentar tadi saya baharu membuat panggilan video dan ayah memaklumkan beliau dalam keadaan baik,” katanya.
Datuk Seri Nasir turut meminta semua pihak sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan ayahnya. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply