‘Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya dihujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan’.
Demikian kata Dr Hana Hadzrami, seorang Pakar Anestesiologi di Hospital Kuala Lumpur, di laman Facebooknya.
“Sebenarnya dari minggu lepas saya simpan khabar gembira ini. Awal Julai kami dapati kemasukan pesakit Covid warga emas mulai menurun. Minggu lepas jumlah kemasukan pesakit warganegara mulai menurun. Majoriti yang datang adalah warga asing”, katanya
Tambah Dr Hana, kes rujukan dari Jabatan Kecemasan kepada ICU untuk pesakit Covid kritikal semakin berkurang.
Jelasnya kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU, dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang.
Sekarang dah nampak sedikit ruang.
“Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup, dan canvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED. Sekarang dah nampak lantai”, kongsi Dr Hana.
Tambahnya, jumlah pesakit kategori ringan mungkin masih ramai tetapi mereka cuma perlukan pemantauan dan rawatan di wad saja.
“Masih ada referral pesakit Covid kritikal ke ICU dari kalangan warganegara namun terdiri dari mereka yang tolak vaksinasi. Apa nak buat.
“Ada juga pesakit Covid kritikal dari kalangan yang divaksinkan namun mereka sembuh sangat cepat berbanding yang tak divaksinkan langsung”, katanya.

Tambah Dr Hana, empat pesakit kami yang dah divaksinkan perlu bantuan pernafasan hanya 3 hingga 4 hari berbanding 2 ke 3 minggu pesakit lain yang tak sempat menerima vaksin.
“Mereka pulih dengan X-ray dada yang bersih. Berbanding dengan majoriti yang rabak paru-parunya. Belum masuk yang dah meninggal.
“Jumlah pesakit di ICU kami masih ramai. Hasil sebulan lepas punya kemasukan. Jumlah mereka yang BID pun masih ramai. Kita belum lagi menang.
“Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit Covid kritikal di ICU hanya 3 orang. Sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka. Kita berusaha dan bertawakkal. InsyaAllah vaccine works”, katanya. –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply