Individu yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima berita baik tidak lama lagi.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi mereka dalam beberapa hari lagi.
“Kita akan muktamadkan perkara ini dan saya akan umumkannya sebagai satu pakej penuh, termasuk dalam aspek sosial, sukan dan aktiviti makan di restoran. Perincian ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam temu ramah khas dengan media hari ini.
Beliau berkata, antara kelonggaran yang diberikan termasuk SOP bagi pergerakan dalam negara, perjalanan rentas sempadan terutama membabitkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan.
“Saya benar-benar berharap langkah ini akan memberikan sedikit ruang, keselesaan bagi orang ramai untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Pada 17 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kelonggaran bagi individu yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan di mesyuarat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam minggu ini.
Ia selaras dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila negeri beralih ke Fasa Dua PPN, terutama membabitkan kawasan Lembah Klang.
PPN dijadualkan untuk dibentangkan oleh Perdana Menteri dalam Sidang Khas Parlimen bermula Isnin ini.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply